It is currently 2010-02-09, 08:49:16 pm

All times are UTC + 8 hours





Post new topic Reply to topic  [ 22 posts ]  Go to page Previous  1, 2, 3  Next
Author Message
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 08:44:48 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
Info TV: Debaran tiga finalis America's Next Top Model di Channel (V)

Image
DARI kiri, Mckey, Analeigh dan Samantha.


PADA Ahad ini akan menamatkan penantian siapakah yang bakal memegang takhta program pencarian peragawati tersohor di Amerika Syarikat, America's Next Top Model (ANTM) edisi ke-11.

Pastikan temu janji anda di depan kaca TV jam 9.45 malam hanya di Channel (V). Siapakah di antara Mckey Sullivan, Samantha Potter dan Analeigh Tipton yang bakal dinobatkan juara musim ini mengikuti jejak Whitney, Naima, Eva, Yvonne serta Jaslene.

Sebagai bonus untuk peminat setia program ini, Channel (V) akan menyiarkan maraton program musim ini bermula jam tujuh pagi pada hari yang sama. Ia pasti penuh dengan elemen melodrama dan percakaran yang cukup sinonim dengan program yang diasaskan peragawati terkemuka, Tyra Banks yang juga hos untuk program ini.

Diimbas kembali musim ini mencetuskan kontroversi apabila kehadiran Isis Tsunami mengundang ketegangan apabila dia menjadi peserta pondan kali pertama yang mengkelaskan dirinya sebagai wanita tetapi mendakwa dilahirkan dalam fizikal lelaki.

Biarpun gagal melayakkan diri ke peringkat tiga teratas, Isis menarik perhatian dan menambah rencah siri program ini.

Sudah berminggu-minggu, Mckey, Samantha dan Analeigh berusaha keras untuk memastikan ke peringkat akhir selepas melalui pengalaman tugasan dari tergantung di atas tali, di dalam air, catwalk dengan mata tertutup dan termasuklah kepada isu kemanusiaan, perkauman, homofobia dan sebagainya yang cuba dibangkitkan. Usaha mereka berbaloi dan berbayar hingga layak bersaing ke peringkat akhir di Amsterdam, Belanda.

Selain Tyra sebagai juri tetap, penghakiman nanti turut diadili jurugambar Nigel Barker, bekas pelakon menjadi model, Paulina Porizkova dan pakar catwalk, J Alexander. Jay Manuel seperti biasa akan menjadi penata gaya bagi setiap pos yang perlu dilakukan oleh ketiga-tiga peserta akhir program ini.

Siapa juaranya? Adakah Mckey ataupun Analeigh akan merebut takhta itu? Mungkinkah Samantha membuat kejutan. Tunggu sajalah keputusannya yang akan disiarkan menerusi di saluran Channel (V).

Untuk pengetahuan, atas permintaan ramai, Channel (V) akan menyiarkan ANTM musim ke-10 yang menobatkan Whitney, pemenang pertama yang tergolong dalam kategori ‘plus size’ mulai 11 Januari, nanti jam 9.45 malam.

Pada tarikh sama juga, saluran ini akan menyiarkan program realiti dunia penerbitan majalah fesyen, Stylista yang diilhamkan dari kemunculan filem The Devil Wears Prada dan program The Apprentice jam 8.55 malam.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 08:46:51 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
'Saya bukan muda sangat'
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Image

WAJAHNYA nampak keanak-anakan tapi hakikatnya, bintang muda yang menempa nama menerusi drama Kisah Kaisara di TV3, Sari Yanti mengakui dia sudah cukup matang untuk menempuh alam perkahwinan.

Kata Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari yang mencecah 25 tahun ini, usianya juga memang cukup ideal untuk bergelar isteri.

"Saya tidak menyesal berkahwin pada usia muda, malah menyokong artis yang kahwin pada usia ini, contohnya pelakon Nabila Huda yang usianya sebaya dengan saya dan baru saja bergelar isteri, baru-baru ini. Sebenarnya, usia saya tidak muda sangat pun, cuma wajah saya yang nampak 'awet muda' dan saya cukup bersyukur dengan anugerah Tuhan ini.

"Apabila beritahu keluarga mengenai hasrat untuk berkahwin, mereka juga memberi sokongan padu kepada saya.

Bagi saya, restu keluarga cukup penting dalam menentukan kebahagiaan pada masa depan.

"Justeru, bila orang persoalkan kenapa saya mengambil keputusan berkahwin ketika nama meningkat naik ketika ini jawapan saya mudah saja, kalau ia memang sudah rezeki, tawaran berlakon tetap ada sekali pun sudah berkahwin," katanya.

Sari Yanti ditemui Rap ketika sidang media pertama Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) di Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ditanya lebih lanjut mengenai perkenalan dengan bakal suaminya, Eddy Casmadi Che Hussin, 28, (Eddy), seorang ahli perniagaan, Sari yang juga pemenang Pencarian Gadis Penghias Muka Depan Cleo 2005 berkata, dia sudah mengenali Eddy, sejak tiga tahun lalu.

"Kami mula berkawan selepas diperkenalkan sepupu saya. Bermula daripada kawan biasa, hubungan kami bertukar menjadi kawan baik dan seterusnya bercinta.

"Hubungan kami serius dan akhirnya kami mengambil keputusan mengakhiri hubungan itu dengan ikatan perkahwinan.

"Keluarga Eddy datang merisik saya dan menyerahkan cincin tanda pada Aidilfitri lalu. Keluarga kami juga terus menetapkan tarikh majlis akad nikah dan bersanding pada masa itu juga.


"Saya seorang yang ringkas dan sederhana saja dalam segala hal. Sebab itu kami tidak bertunang kerana ingin buat perkara wajib dan menjadi tuntutan agama saja," katanya.

Sari yang juga anak kedua daripada tiga beradik dan berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, Eddy mengenalinya sebelum dia bergelar artis lagi.

"Saya tertarik dengan Eddy kerana dia cukup memahami dan sentiasa memberikan galakan pada bidang yang saya minat. Saya juga gembira apabila di sampingnya.

"Eddy juga pengkritik saya yang paling telus dalam bidang seni. Malah, dia juga meminta saya masuk kelas lakonan bagi memantapkan prestasi sedia ada. Lebih bermakna, dia juga memberi restu untuk saya terus berlakon selepas bergelar isteri nanti," katanya.

Bercerita lanjut mengenai persiapan majlis perkahwinannya yang berkonsep tradisional itu, Sari berkata, setakat ini ia sudah siap 80 peratus.

"Baju akad nikah, bersanding dan pelamin ditaja butik Lynda Rahim, Kuala Lumpur. Urusan bunga telur dan perisiapan lain semuanya diuruskan keluarga dan saudara- mara terdekat. Majlis perkahwinan saya sederhana saja dan dijangka dihadiri 2,000 tetamu," katanya.

Majlis pernikahan Sari dan Eddy akan berlangsung di kediaman keluarga Sari di Kuala Pilah, Negeri Sembilan jam 8.30 malam pada 16 Januari nanti (selepas solat Isyak). Majlis persandingan juga berlangsung di sebelah pihak perempuan bermula jam 12 tengah hari pada keesokan harinya (17 Januari).

Manakala, majlis bertandang di sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung di kediaman pihak lelaki berhampiran pekarangan Masjid Subang Jaya pada 24 Januari nanti. Ketika ditanya mengenai jumlah wang hantaran, Sari berkata, dia meminta maaf kerana terpaksa merahsiakan perkara itu daripada pihak media atas sebab tersendiri.

"Pihak lelaki juga dijangka menghantar tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Eddy juga juga dijangka menyarungkan cincin emas putih untuk acara membatalkan sembahyang nanti.

"Sebenarnya, saya 'langkah bendul' dan mengikut adat, pihak lelaki akan menyerahkan sepasang kain dan sebentuk cincin kepada kakak saya. Selain itu, kami juga belum tahu destinasi berbulan madu dan pada masa sama belum fikir soal anak," katanya.

Sementara itu, Sari Yanti berkata, dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa selepas bergelar isteri.

"Saya sudah pun menyusun agenda seni untuk tahun depan. Saya juga mendapat tawaran beberapa projek drama dan mengacara termasuk filem tetapi belum diputuskan lagi. Selepas majlis bertandang di pihak lelaki nanti, saya akan kembali bekerja.

"Saya juga terbabit dengan program Chopp yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV9 bermula 1 Januari ini. Program ini menggandingkan saya dengan pelakon Iqram Dinzly dan disiarkan setiap hari," katanya.

Pelakon yang sinonim dengan watak gadis manja dan remaja ini juga menaruh harapan kerjaya lakonannya akan terus bersinar pada 2009.

"Saya mengharapkan rezeki lebih murah dan kerjaya lakonan juga semakin meningkat dari semasa ke semasa. Pada masa sama,saya juga ingin menjadi isteri yang baik buat suami nanti.

"Saya juga tidak kisah watak ditawarkan kepada saya selepas bergelar isteri. Sepanjang setahun berkecimpung sebagai pelakon, saya tidak pernah minta watak yang diberikan kerana saya percaya, pengarah lebih tahu watak sesuai buat saya. Sebelum ini, saya pernah ditawarkan watak pelacur tetapi akhirnya pengarah tarik balik kerana mereka fikir ia tidak sesuai dengan karakter saya," katanya.

Profil

Quote:
NAMA: Sari Yanti Mohamad Nazari

NAMA KOMERSIAL: Sari Yanti

ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

TARIKH LAHIR: 9 November 1984

ZODIAK: Scorpio

KERJAYA: Model, pelakon dan pengacara

PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten)

KOMERSIAL TV: Hotlink, Sunsilk, Maxis, Palmolive, Tesco, Kentucky Fried Chicken (KFC), Kotex

DRAMA/TELEFILEM: Kisah Kaisara 1 & 2, Sofea Zahra, Lima, Gadis Merah Jambu, Juanna, Seandainya Aku Siti dan Pencak Akhir

FILEM: Impak Maksima & Hooperz

PROGRAM: Hos Astro TM Carnival Cage Futsal, mengulas cerita terkini laman web terbitan Media Prima, Gua.com. yang ke udara menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI), Teratak Impian, 13 episod untuk RTM


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 08:52:15 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
Deja buang kandungan
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Image

SEMBILAN hari sebelum majlis persandingan berlangsung di pihak lelaki, penyanyi popular Deja Moss berhadapan dengan ujian Tuhan apabila terpaksa menjalani pembedahan kerana disahkan mengandung di luar rahim.


Kata Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss ,35, yang bergelar isteri sejak 30 Ogos lalu, pada mulanya, dia hanya berasa sakit perut di sebelah kiri dan mengalami pendarahan pada 21 Disember lalu.

"Saya dan suami segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaaan dan doktor juga memberitahu saya mengandung tetapi tidak mengesan apa-apa masalah lain.

"Bagaimanapun, pendarahan terus keluar dan saya terus menghubungi rakan yang pernah mengalami masalah yang sama seperti saya sebelum ini.

"Rakan saya itu terus mencadangkan berjumpa doktor pakar dari Hospital Gleneagles pada keesokan harinya.

Doktor pakar itu juga mengesahkan saya mengandung di luar rahim dan meminta menjalani pembedahan dengan segera untuk membuang saluran tiub fallopia di sebelah kiri kerana kandungan saya melekat di saluran itu," katanya.

Deja berkata, dia dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan pada 23 Disember lalu di hospital berkenaan.

"Pembedahan itu membabitkan masa dua jam 45 minit dan saya hanya dibenarkan keluar wad pada 27 Disember. Doktor pakar juga memberitahu kandungan saya sudah mencecah enam minggu dan jika saya lewat tiga hari untuk menjalani pembedahan itu kandungan itu akan pecah serta menyerang paru-paru sekali gus membahayakan nyawa saya," katanya.

Apapun, kata Deja, dia dan suaminya, Azfendy Azzuddin, 29, reda menerima ujian Tuhan itu.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana proses pembedahan berjalan lancar. Sekalipun saya hanya mempunyai satu tiub fallopia sekarang tetapi peluang mengandung lagi tetap ada.

"Terus terang, saya akui sukar untuk membuat keputusan menjalani pembedahan membuang kandungan saya ini tetapi akhirnya saya akur dengan nasihat doktor pakar, pembedahan dilakukan demi menyelamatkan nyawa saya.

"Maklumlah, mana-mana pasangan yang berkahwin pasti menantikan kehadiran cahaya mata dan nampaknya belum ada rezeki kami lagi.

"Kami tidak akan berputus asa dan terus berusaha untuk mendapatkan cahaya mata termasuk berurut secara tradisional selepas ini," katanya.

Ketika dihubungi Rap, Deja berkata, kini dia masih berpantang seperti wanita yang baru melahirkan anak.

"Doktor juga meminta saya berehat selama enam minggu sebelum kembali aktif dan bekerja seperti biasa.

Saya beruntung kerana suami dan keluarga mentua sentiasa di sisi ketika berhadapan dengan saat-saat sukar ini.

"Suami juga sanggup mengambil cuti untuk menjaga dan memasak sepanjang tempoh berpantang ini," katanya.

Pada masa sama, kata Deja, majlis persandingan di sebelah pihak lelaki yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur jam 7.30 malam ini tetap berjalan seperti direncanakan.

"Saya harap semua orang faham kenapa saya lewat menyerahkan kad undangan majlis persandingan pihak lelaki ini kerana baru saja beransur pulih selepas menjalani pembedahan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai majlis persandingannya itu, Deja berkata, setakat ini, persiapan sudah siap sebanyak 89 peratus.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 08:55:12 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
Ambil berkat Maal Hijrah
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Image


SELEPAS selamat dinikahkan pada Maal Hijrah Isnin lalu, penyampai Suria FM, Zaffrina Abd Rahman (Zaff), 27 dan Penerbit Promo Astro, Suffian Harris Mustapa (Opie), 30, memilih ketibaan tahun baru untuk melangsungkan persandingan mereka.

Dengan memilih Dewan Komuniti Taman Tun Dr Ismail, Jalan Anthinappan, Kuala Lumpur sebagai lokasi persandingan, Zaff yang mengendalikan segmen ‘Suria Drive-In’ setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 4 petang hingga 8 malam, berkata, tarikh 1 Januari dirasakan amat sesuai untuk melangsungkan majlis persandingan mereka.

Pasangan yang dinikahkan di Masjid Al-Ikhwaniah, Taman Cheras Utama, berkata, pada hari itu seluruh rakyat Malaysia menyambut cuti umum dan ini memudahkan tetamu yang diundang menghadiri hari bahagianya.

“Tarikh itu sesuai untuk tetamu datang kerana cuti umum sempena tahun baru. Kebetulan, saya bernikah pada tahun baru Islam (Maal Hijrah) pada 29 Disember, jadi saya fikir kenapa tidak kami melangsungkan majlis persandingan pada 1 Januari pula sebagai simbolik melangkah alam baru iaitu perkahwinan.

“Dengan harapan kami suami isteri dapat mengharungi frasa baru kehidupan serta melayari rumah tangga dengan baik, insyaAllah,” katanya ketika ditemui sewaktu mengedarkan kad jemputan perkahwinannya yang bertemakan merah jambu dan putih, minggu lalu.

Mengimbas perkenalan Zaff dan Opie, mereka bertemu empat tahun yang lalu ketika Zaff mengikuti praktikal di bawah stesen ntv7. Sebelum itu, Zaff dikenali sebagai penari Erra Fazira Entertainment (EFE) bersama adiknya, Zafrah Najmi.

“Kami kenal sudah lama tapi bercinta baru setahun. Sebelum ini, kami hanya berkawan kerana waktu itu saya sudah ada teman lelaki dan kalau tidak silap, dia pun ada teman wanita.

“Entah bagaimana, selepas lama tidak bertemu kami terserempak semula di Konsert 3 Diva (yang menampilkan tiga penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan TitI DJ) di Stadium Bukit Jalil. Kebetulan, kami berdua sudah putus dengan pasangan masing-masing.

“Sejak itu kami berhubungan semula tanpa disangka, sama seperti saya dia juga sudah lama menyimpan perasaan terhadap saya,” katanya.

Jelas Zaff, dia menyukai Opie kerana penampilan jejaka itu menepati ciri-ciri lelaki idamannya selain sikapnya yang budiman dan memahami kerjayanya yang cukup sibuk.

“Dia juga bekerja dalam ruang lingkup dunia penyiaran justeru cukup memahami tugas dan sangat menyokong karier saya sebagai penyampai radio,” katanya.

Mengenai destinasi bulan madu, Zaff berkata mereka memilih Langkawi kemudian ke United Kingdom pada Jun 2009 untuk berbulan madu sekali gus menemui adiknya yang melanjutkan pengajian di universiti negara itu.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 08:56:30 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
Rahman semakin pulih
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

WALAUPUN sudah seminggu terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), wajah Presiden Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan, 62, kelihatan sihat.

Malah senyuman tidak lepas dari bibir penyanyi popular 60-an itu setiap kali menyambut kehadiran tetamu yang menziarahinya.

Rap pada 29 Disember lalu melaporkan Rahman dimasukkan ke HKL sejak Jumaat lalu selepas mengadu sakit dada. Dia dibawa ke hospital oleh anaknya, Khir Rahman selepas kesakitan berkenaan berlarutan sehingga empat jam.

Sebelum ini dia yang juga pemimpin Orkes Nirwana itu pernah mengalami sakit yang sama tetapi tidak pernah berlanjutan sehingga beberapa jam. Setiba di hospital, Rahman dimaklumkan doktor mengesyakinya menghadapi masalah jantung dan mengikuti pemeriksaan rapi bagi mengesan sakit yang dialami.

Ketika kunjungan wartawan Rap dan jurugambar, di hospital berkenaan Rahman sendiri tidak menyangka berita dia berada di hospital itu tersebar begitu pantas sekali. Begitupun, dia bersyukur kerana keprihatinan rakan-rakan dan kenalan yang sudi meluangkan masa untuk hadir menjenguknya di hospital.

Rahman yang masih menjalani rawatan ditempatkan di wad 28, tingkat lima hospital berkenaan, ketika ditemui memaklumkan sehingga kini pihak hospital belum mengenal pasti 100 peratus punca kesakitannya malah segala-galanya masih dalam peringkat rawatan.

"Saya tidak pernah sakit sebegini dan ditahan di hospital sebelum ini. Pihak hospital memang memberikan rawatan rapi. Doktor juga menasihatkan saya supaya banyak berehat dan kurang bercakap.

"Sejak dimasuk di hospital, memang ramai kenalan, saudara- mara serta wakil persatuan yang datang melawat termasuk Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof.

"Ada juga di kalangan rakan media yang mahu membuat liputan namun saya tidak membenarkannya kerana bimbing persepsi orang ramai apabila mendapati saya terlantar di hospital akibat kesakitan.

"Saya sendiri, selagi badan boleh bergerak, saya tetap tidak akan tunjuk kesakitan sebagai motivasi diri. Memang saya sentiasa melawan mengatasi apa saja penyakit," katanya.

Dia sepatutnya memenuhi undangan menjayakan persembahan di Pulau Pinang pada 29 Disember selain menghadiri mesyuarat agung Mahkota pada 30 Disember (semalam). Begitupun segala urusan berkenaan terpaksa diserahkan kepada pembantunya.

Turut menziarah, Presiden Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid dan isterinya, Datin Normala Mohd Shariff. Bagi pihak Papita, M Daud turut menyerahkan sumbangan kebajikan kepada Rahman.

Sebelum ini, Papita turut menyerahkan sumbangan kepada Datuk Aziz Satar yang menjalani rawatan di Hospital Ampang Puteri dan keluarga Allahyarham Nasir P Ramlee yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung serta buah pinggang pada 17 Disember lalu.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 08:58:43 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
BORAK LOKASI: Berlakon bersama haiwan
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

MUNGKIN ada segelintir pengarah dan produksi tempatan menempuh cabaran sukar untuk mengetengahkan lakonan membabitkan babak kanak-kanak atau haiwan.


Begitu juga bagi kru dan pengarah drama bersiri, Radio Gaga yang berdepan cabaran besar apabila memilih beberapa jenis haiwan dalam setiap babak utamanya.

Drama yang meneruskan kesinambungan daripada sambutan positif telefilem Radio Gaga yang disiarkan menerusi saluran RTM1 penghujung 2007 lalu, turut mengetengahkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Diana Rafar, Ezany Nazarif, Maria Farida dan Mahmud Ali Bashah.

Teraju utamanya, Diana sebagai Norlela berdepan kebolehan luar biasa apabila dapat membaca isi hati atau perasaan manusia dan binatang selepas memakai alat pembantu peribadi digital (PDA) khas. Selain kenalan dan keluarga, Norlela turut berpeluang berbicara dengan haiwan seperti kucing, ikan dan arnab. Cuma, bezanya Radio Gaga menggunakan alat pemain MP3 manakala PDA bagi drama bersiri.

Ketika kunjungan wartawan Rap dan jurugambar di lokasi penggambaran di rumah contoh Duta Suria, Taman Putra Sulaiman, Ampang, baru-baru ini, kru produksi berkenaan sedang menyiapkan beberapa babak penggambaran drama bersiri 13 episod itu.

Cabaran sukar dilalui kru produksi serta pengarahnya, Murali Abdullah apabila terpaksa merakamkan setiap gerak- geri kucing bernama Oskar. Kucing yang memiliki bulu putih tebal terpaksa dikawal dan dipegang rapi kru berkenaan.

Walaupun jinak tetapi kucing berkenaan tetap mempunyai ‘mood’ tersendiri ketika rakaman berlangsung. Malah kucing yang dipinjamkan untuk penggambaran berkenaan seperti sudah lali dan memahami tugasnya selepas beberapa hari penggambaran bersama pelakon dan kru produksi itu.

Kebanyakan mereka juga menganggap kehadiran haiwan dalam drama cukup menceriakan suasana di lokasi penggambaran.

Diana sendiri memaklumkan betapa sejarah keluarganya cukup fobia dengan kucing. Begitupun, selepas terbabit menjayakan telefilem dan seterusnya drama bersiri itu, fobia berkenaan semakin terhakis. Malah sejak membintangi drama itu, perasaan menyayangi haiwan semakin menebal dalam dirinya.

Begitu juga bagi Murali yang sebelum ini berdepan alahan kepada binatang terutama yang berbulu. Alahan itu membuatkannya bersin dan selesema. Begitupun, situasi itu juga berjaya diatasi.

Menurut Murali, dia masih mengekalkan konsep dan idea penulis skrip iaitu Nizam Zakaria serta Sofia J Rhyland. Malah lebih menarik apabila drama berkenaan memaparkan cerita berlainan dalam setiap episodnya.

“Tema yang dibawakan drama ini berkisar kepada kehidupan remaja masa kini serta ikatan persahabatan yang utuh berlatarbelakangkan dunia sains dan teknologi. Drama komedi ringan dan sesuai ditonton seisi keluarga padat dengan mesej pendidikan dan pengajaran.

“Ini pengalaman pertama saya merakamkan babak bersama kucing. Saya pula cukup alah dengan binatang berbulu seperti kucing. Namun, kerana kerja saya tetap berusaha mengatasinya. Ada yang berpendapat penggambaran membabitkan kanak-kanak lebih sukar daripada haiwan. Namun, bagi saya penggambaran membabitkan haiwan lebih sukar dan cukup mencabar,” katanya.

Murali menyifatkan drama berkenaan ternyata berbeza daripada penghasilan drama berat yang sebelum ini seperti Obsesi, Iktikad selain Suara Solehah terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd yang mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi anugerah drama serta pengarah terbaik pada Anugerah Skrin 2008, November lalu.

“Kekuatan drama ini mungkin kepada konsep atau jalan ceritanya yang santai malah sesuai ditonton kanak-kanak dan dewasa. Penceritaannya pula berkisar kepada kebolehan Norlela yang mampu membaca isi hati atau perasaan manusia dan binatang menerusi PDA.

“Berbanding drama serius, penghasilan drama berbentuk komedi ini agak sukar kerana membabitkan penelitian yang menyeluruh bergantung kepada situasi yang cuba ditampilkan dalam setiap babak lakonan,” katanya.

Drama yang dijangka membabitkan penggambaran selama 26 hari berlangsung di sekitar Lembah Klang seperti Pusat Sains Negara, makmal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan sekitar Ampang.

PROFIL

Quote:
DRAMA: RADIO GAGA

TERBITAN: Zeel Production Sdn Bhd

PENERBIT EKSEKUTIF: Muhamad Norazhar Baharuddin

PENGARAH: Murali Abdullah

PENOLONG PENGARAH: Nazir Jamaluddin

PENGURUS PRODUKSI: Khairul Anuar Mat Noor

JURU KAMERA: Mohd Jufri Ayob

JURU BUNYI: Mohd Sany A Samah

PENATA CAHAYA: Mat Fazli Kamaruddin

PROP MASTER & HANDY: Iskandar Kamarudin

PEMBANTU PROP: Izma Shah Ismail

KESINAMBUNGAN: Lenny Merlina Md Yusof

PEMBANTU TEKNIKAL 1: Mohd Roslan Mohd Ghazali

PEMBANTU TEKNIKAL 2: Rozailan Zakaria

SOLEKAN & WARDROBE: Zulkifli Zali @ J-Lo

RUNNER: Shahrizal Abu Bakar

KATERING: Nora & Bahrin Catering Services

PELAKON: Diana Rafar (Norlela), Safa Mazlan (Safri), Mahmud Ali Bashah (Wahab), Ezany Nazarif (Fahim), Zachery (Dr Izwan), Maria Farida (Ramona), Linda Helmi (Dr Fatimah), Julie Dahlan (Madam Zazam), Murali Abdullah (Dr Andrews), Liya Iryani Banks (Elina), Halim (Mahmud), Asri Azizan (Yeop) dan Afzan Rahman (Mamat).


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 09:01:19 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
BORAK LOKASI: Jufri jurukamera lebih 20 drama

SETIAP jurukamera pasti mempunyai impian tersendiri. Begitu juga buat Mohd Jufri Ayob, 36, yang mula membabitkan diri dalam bidang produksi sejak lebih sedekad lalu. Mohd Jufri yang lebih mesra disapa Jufri menyimpan impian untuk mengarah filem pada masa akan datang.

Begitupun, Jufri yang bertindak sebagai jurukamera untuk drama Radio Gaga terbitan Zeel Production, mahu berbuat demikian selepas cukup menuntut ilmu dalam bidang berkenaan.

“Saya bermula sebagai kru biasa sekitar 1992. Begitupun, saya diberi peluang mengikuti kursus membabitkan produksi di HVD yang beroperasi di Damansara ketika itu. Kebetulan pula, saya di temuduga untuk jawatan kru am oleh Murali Abdullah yang ketika itu turut bekerja sebagai penyelia di sana.

“Selepas menimba pengalaman sebagai kru biasa, saya kemudian mendapat peluang untuk bertugas sebagai pembantu jurubunyi seterusnya penata cahaya. Mungkin sudah rezeki saya tidak sampai setahun, saya diberi peluang untuk mengendalikan kamera video pula.

“Walaupun masih baru dalam bidang itu saya tetap menjalani latihan atau kursus yang dikendalikan majikan selain bertanya mereka yang mahir serta berpengalaman,” katanya.

Tugas pertama mengendali kameranya bermula ketika penggambaran drama, Rosanita untuk RTM arahan Kok Zhe Haw pada 1995. Sejak itu Jufri mula diberi tanggungjawab sebagai jurukamera oleh pengarah dan produksi tempatan sehingga menghasil lebih 20 drama.

Dia turut mendapat kepercayaan pengarah berbakat, Murali Abdullah sebagai jurukamera untuk drama bersirinya seperti Obsesi dan telemovie, Iktikad.

Bakat Jufri turut mendapat perhatian apabila dicalonkan pada senarai teratas bagi Anugerah Oskar 2008 untuk telemovie, Janji Seorang Anak juga arahan Murali. Dia turut bertindak sebagai jurukamera untuk drama bersiri seperti Jangan Main Belakang, Ihsan dan Kehangatan Lantana (telemovie).

Baginya, pembabitan dalam produksi ternyata mempunyai masa depan cerah jika individu berkenaan sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Seseorang jurukamera perlu berusaha dengan gigih. Perlu kreatif mencari sudut malah apa yang lebih penting minat terhadap bidang yang diceburi. Perlu sentiasa ingin belajar dan terima pandangan selain tahap komunikasi yang baik,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 09:02:23 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
BORAK LOKASI: Sany pernah kena maki-hamun

MINAT dalam bidang teater ketika menuntut di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Muar pada 2001 mendorong Mohd Sany A Samah atau Sany, 28, untuk aktif sebagai kru belakang tabir bersama produksi tempatan.

Walaupun menuntut dalam bidang Mekanikal Pembuatan (barangan plastik) di ILP, namun ia bukan halangan baginya untuk terbabit dalam bidang produksi. Peluang berkenaan hadir ketika dimaklumkan rakan-rakan mengenai temuduga untuk mengambil pekerja kru teknikal bagi syarikat Damai Pictures Sdn Bhd sekitar enam tahun lalu.

“Selepas mendapat tahu mengenai temuduga pengambilan kru berkenaan, saya dengan serta-merta tidak mahu melepaskan peluang itu dengan mencuba nasib. Sesi berkenaan dihadiri ramai calon yang berpengalaman dan lepasan sekolah.

“Disebabkan terlalu minat, saya terpaksa merayu kepada pihak pengurusan yang mengendalikan sesi temuduga itu.

“Selesai temuduga berkenaan saya disuruh pulang begitupun kerana bimbang tidak mendapat tawaran pekerjaan itu saya merayu sekali lagi kepada pihak pengurusan untuk mempertimbangkan permohonan itu.

“Mungkin kerana kasihan dan rezeki dalam bidang ini akhirnya saya diterima bekerja.

“Tugas pertama saya sebagai pembantu jurukamera ialah untuk drama 20 episod, Enggang Berlabuh Di Teratak Senja arahan Wan Husein. Walaupun tidak mempunyai asas dalam produksi, namun saya tetap diberi peluang untuk belajar dengan mereka yang berpengalaman dan mengikuti kursus,” katanya.

Selain bertindak sebagai jurubunyi untuk Radio Gaga, Sany turut mahir mengendalikan aspek teknikal seperti penata cahaya, handyman, pembantu jurukamera dan pembantu props.

Pemuda yang berasal daripada Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini pernah menjayakan pementasan Hang Tuah ketika menyertai kelab teater di ILP.

Dalam lebih 40 drama dihasilkan, Sany turut berdepan beberapa pengalaman yang memberi pengajaran berguna untuk meningkatkan kualiti kerja pada masa depan. Pengalaman yang sukar dilupakan sehingga kini ialah ketika penggambaran terakhir drama Samarinda, Sesuci Cinta Sofia arahan Along Kamarudin pada dua tahun lepas.

“Ketika babak akhir daripada lapan babak penggambaran pada hari berkenaan baru saya tersedar wayar penyambung bunyi tidak dicucuk dengan betul. Keseluruhan babak penggambaran hanya memaparkan visual tanpa audio. Akibatnya drama berkenaan terpaksa dilakonkan semula. Memang teruk saya dimaki hamun akibat kecuaian itu. Begitupun, saya terima kesalahan itu dengan redaa.

“Saya mengakui kecuaian itu berpunca daripada diri sendiri. Ia ternyata menjadi pengajaran berguna bagi karier saya. Sejak itu, saya sentiasa berhati-hati dan memastikan segalanya berjalan lancar,” katanya.

Sany turut berkesempatan bertindak di belakang tabir untuk program dokumentari majalah, Touring arahan Azhar Yunos. Program yang menampilkan temu bual masyarakat Malaysia yang mencipta nama di luar negara membolehkan Sany bersama kru produksi berkampung selama 18 hari di sekitar Wales dan London.

Seperti kru produksi bebas yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat, Sany turut berdepan pengalaman ngeri apabila langsung tidak mempunyai majikan atau pekerjaan selama empat bulan. Walaupun hampir putus asa dengan situasi itu, namun Sany tetap mempunyai alternatif untuk terbabit dalam produksi.

Malah dia turut menyimpan impian mempunyai syarikat yang membekalkan sewaan barangan kelengkapan untuk penggambaran.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 09:03:17 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
BORAK LOKASI: Rocker diminta tukar imej dangdut

BUKAN mudah untuk membentuk keserasian ketika menjayakan watak yang diberikan. Bagi pendatang baru dalam lakonan, Safa Mazlan, 25, peluang menjayakan watak bersama beberapa pelakon terkenal menerusi drama bersiri Radio Gaga memberi peluang untuknya mencipta nama dalam bidang seni.

Safa membawa peranan Safri iaitu abang kepada Norlela (Diana Rafar) yang keliru dengan karier nyanyiannya. Bagaimanapun, Safri mempunyai perangai yang pelik dan meminati muzik rock dengan imej ala gothik. Malah dia menjadi mangsa syarikat rakaman yang menyuruhnya bertukar kepada imej dangdut.

“Saya turut menjayakan watak dalam telemovie sama sebelum ini. Kesinambungan daripada itu, karakter Safri agak manja tetapi tampil dengan imej rock. Perangai Safri juga agak pelik dengan persekitaran pemuzik. Konflik timbul apabila syarikat rakaman membuatnya semakin tidak tentu hala.

“Saya seronok membawakan watak ini kerana kelainannya cukup ketara berbanding karakter saya dalam drama sebelumnya. Sebagai orang baru dalam lakonan saya juga bertuah kerana dapat menjayakan watak di samping beberapa pelakon terkenal seperti Diana (Rafar), Zamarul Hisham dan Azizah Mahzan,” katanya.

Safa turut terbabit dalam drama bersiri tempatan seperti Spa Q 2 sebagai Rain, Impian Laili (Uda) dan Adam 2. Dia berharap diberi peluang untuk melakonkan watak yang lebih serius pada masa akan datang.

Bagi Diana pula dia mengakui tidak pernah puas dengan lakonannya. Sejak menerima tawaran menjayakan telemovie, Radio Gaga pelakon genit itu sudah meletakkan harapan yang tinggi untuk perkembangan watak lakonannya.

“Memang ketika menerima tawaran menjayakan watak ini saya sentiasa mahu melihat kelainan dan sesuatu yang lebih baik daripada setiap babak lakonan yang dihasilkan. Pada mulanya saya agak berbelah bagi apabila dimaklumkan untuk berlakon watak bersama kucing begitupun saya langsung tidak menyesal walaupun terpaksa meninggalkan sementara perniagaan atau aktiviti lain,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Re: HIBURAN: KHAMIS 01 JANUARI 2009
New postPosted: 2009-01-07, 09:03:57 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28717
Location: Di atas nama cinta
SOSEH SOSEH: Mahu tumpang pasangan?

MACAM-MACAM cerita yang disampaikan orang kepada SS hingga telinga SS ini sudah lali mendengar cerita-cerita yang kadang-kadang memang tidak masuk akal. Ada kalanya melucukan dan ada juga menakutkan.

Terbaru, SS dengar cerita mengenai suami artis yang sudah berumur ini dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya. Mungkin ada yang kata, bertuahnya artis itu kerana berjaya memikat orang muda.

Tapi SS ada cerita menarik mengenai sikap suami artis itu yang disampaikan seorang rakan yang dimaklumkan cerita itu oleh seseorang ketika menghadiri satu majlis, baru-baru ini.

Kata rakan SS itu, sumber yang memaklumkan cerita itu memang boleh dipercayai kerana dia pernah berkawan dengan suami artis itu.

Katanya, sepanjang mereka berkawan, dia dapati lelaki itu mempunyai sikap pemalas dan tidak suka bekerja. Buruk cakap, dia suka bergantung hidup dengan pasangannya. Apabila mengetahui sikap pemalasnya itu, dia cepat-cepat angkat kaki dan tidak mahu meneruskan hubungan mereka.

Kata rakan SS itu, dia yakin lelaki itu berkahwin dengan artis berkenaan kerana ingin menumpang glamor dan kesenangan artis itu.

Tidak cukup dengan itu, kata rakan SS, keluarga lelaki itu juga tidak menghalang hubungan anak terunanya dengan wanita yang sebaya dengan umurnya kerana dia juga ingin menumpang hidup dan glamor artis berkenaan.

SS harap, cerita buruk yang disampaikan rakan SS itu tidak benar. Pada pandangan SS, biarlah kita bersangka baik kerana tidak salah jika artis itu memilih lelaki muda sebagai pasangan hidupnya kerana dia yakin lelaki muda itu boleh memberi kebahagian kepadanya selepas sekian lama hidup sendiri.

Apapun, ia jodoh yang ditentukan tuhan untuknya. Apa yang penting, kita sama-sama mendoakan rumah tangga mereka bahagia hingga ke anak cucu.


Top
 Profile  
 
Display posts from previous:  Sort by  
Post new topic Reply to topic  [ 22 posts ]  Go to page Previous  1, 2, 3  Next

All times are UTC + 8 hours


Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 1 guest


You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum

Search for:
Jump to:  
cron
Powered by phpBB © 2000, 2002, 2005, 2007 phpBB Group
Free Forum : phpbb3now.com

PlayStation style by Scott Stubblefield