It is currently 2010-09-03, 03:39:18 am

All times are UTC + 8 hours





Post new topic Reply to topic  [ 18 posts ]  Go to page 1, 2  Next
Author Message
 Post subject: HIBURAN: SELASA 12 FEBRUARI 2008
New postPosted: 2008-02-16, 11:22:45 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Fasha nafi lagak 'diva'
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Image
CANTIK: Fasha, Sheila dan Vanidah, tiga finalis ABPBH2007.


Menaruh harapan besar dalam ABPBH2007

BINTANG filem jelita, Fasha Sandha, 24, tidak menafikan dia semakin sepi dari sebarang publisiti di dada akhbar mahu pun majalah tetapi ia bukanlah bermakna kerana merajuk. Sebaliknya, dia terlalu sibuk dengan jadual penggambaran drama dan filem yang tidak henti-henti sehinggakan tidak punya waktu untuk memenuhi undangan fotografi.

“Tidak dinafikan saya agak senyap, tapi bukan merajuk tetapi saya sibuk dengan penggambaran. Ketika penggambaran saya lebih suka memberikan sepenuh tumpuan pada kerja saja. Saya tidak suka mencampur adukkan kerja, lagipun masa saya agak terhad.

“Saya tidak suka terkejar-kejar. Kalau mahu memenuhi undangan fotografi sekali pun, saya akan pastikan tidak ada kerja sepanjang hari barulah saya akan terima,” kata Fasha yang ditemui ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Habib Jewels Sdn Bhd dan Berita Harian Sdn Bhd.

Fasha yang anggun berkebaya pendek warna merah menyala rekaan Calvin Thoo dan menggayakan set barang kemas Koleksi 2008 daripada Habib yang bernilai RM 1.1 juta menambah, mungkin kerana itu dia diundang bekerja dengan pengarah yang sama lebih daripada lima kali.

Bersama Profesor A Razak Mohaideen, Fasha sudah bekerja sebanyak lapan kali, manakala di bawah pengarah baru Ahmad Idham pula, dia sudah berkerja lebih lima kali.

Image
Fasha Sandha
Ditanya pada Fasha, tidak benarlah dakwaan yang mengatakan dia semakin ‘diva’? Fasha menjawab, sekiranya dia sudah berasakan dirinya Diva, tidak mungkin dia akan dipanggil oleh orang yang sama.

“Sekiranya saya diva, takkanlah orang panggil saya lagi untuk berlakon,” katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Impak Maksima yang akan mula ditayangkan di kaca televisyen pada 18 Februari nanti di saluran TV3.

Selepas selesai penggambaran Impak Maksima, bukan bermakna dia sudah boleh berehat. Sebaliknya banyak lagi skrip yang menanti, di dalam tangannya sebanyak lima skrip ditawarkan. Tiga daripadanya adalah untuk filem sementara dua lagi drama.

Gadis kelahiran Johor Bharu dan dibesarkan di Pulau Pinang ini cukup teliti dalam memilih skrip. Kalau boleh, dia mahu watak berbeza daripada yang pernah dibawakan sebelum ini. Terlalu banyak membawakan watak wanita dewasa dan pernah membawakan watak Datin, kali ini Fasha teringin membawakan watak pelajar pula.

Biarpun menerima banyak tawaran, Fasha tidak menerima dua atau tiga tawaran serentak. Sebaliknya si tinggi lampai ini lebih senang memberi tumpuan pada satu kerja saja. Dia tidak mahu tumpuannya terganggu andai terpaksa bergegas dari satu lokasi ke lokasi yang lain jika menerima terlalu banyak tawaran.

“Saya tidak ambil banyak projek dan lebih selesa menumpukan pada satu projek kerana selalunya drama akan mengambil masa yang lama untuk penggambaran. Drama bersiri Impak Maksima sendiri mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan, kami menjalani penggambaran dari November hingga Januari lalu.

“Jadi macam mana saya hendak terima tawaran lain sekali gus,” katanya yang bakal muncul dalam empat filem baru tahun ini iaitu Evolusi KL Drift, Cinta U Turn, Skrip 7707 dan Cicak Man 2.

Tahun ini, nama Fasha Sandha masih lagi tidak ketinggalan ke Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007). Fasha sekali lagi dicalonkan bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Jika tahun lalu, kedua-dua kategori itu menjadi miliknya, namun tahun ini nasibnya hanya akan diketahui pada 30 Mac nanti.

Fasha tidak malu untuk mengakui betapa dia mendambakan kemenangan. Namun melihat senarai artis yang mengungguli senarai Top 5, Fasha tidak meletakkan harapan yang tinggi.

“Syukurlah, rezeki. Saya terkejut dicalonkan lagi dalam dua kategori kerana produk televisyen saya tidak banyak. Bagaimanapun saya sedar peluang untuk menang begitu sengit melihat pada senarai pencalonan seperti Rozita Che Wan dan Dynaz.

“Kalau tercalon semua orang mesti hendak menang, tetapi bagi saya kalau tidak menang pun tak mengapa kerana saya masih rasa teruja dan bangga dicalonkan hingga peringkat Top 5.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih pada peminat yang masih mengundi dan insya Allah saya akan menyertai Siri Jelajah ABPBH 2007 ke beberapa lokasi untuk bertemu dengan peminat,” kata Duta Garnier, Maybelline dan High 5.

Sementara itu Habib Jewels sudah bersetuju untuk menaja RM2.5 iaitu RM1.5 juta adalah dalam bentuk wang tunai dan sejuta ringgit lagi adalah berupa barangan kemas Habib.

Untuk kategori Bintang Paling Popular, artis yang bertuah akan menerima set berlian habib bernilai RM150,000 dan bagi pemenang utama pembaca pula, mereka akan membawa pulang berlian bernilai RM50,000.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Hijjaz semakin aktif perluas empayar perniagaan
New postPosted: 2008-02-16, 11:23:49 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

TIDAK hanya tertumpu kepada penghasilan album mereka semata-mata, kumpulan Hijjaz melebarkan empayar pembabitan mereka mereka di dalam pelbagai bidang perniagaan.

Hijjaz kini bukan saja memiliki syarikat yang tidak hanya menguruskan ‘nama’ mereka saja, Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) turut memayungi artis nasyid lain seperti UNIC, Mestica, Aeman dan Amar. Mereka terus bergerak aktif apabila menjalinkan kerjasama dengan agensi pelancongan Legend Tours Sdn Bhd dan Elhajj Products untuk menganjurkan program ‘Jom Pergi Umrah Bersama Hijjaz Records - Legend Tours’.

Baru-baru ini, Memorandum Persefahaman di tandatangani antara Hijjaz Records, Legend Tours dan Elhajj Products dalam sebuah majlis yang ringkas tetapi meriah. Dengan kerjasama yang terjalin erat itu, bermula satu lagi cabang perniagaan kumpulan yang sudah mencecah usia sedekad dalam bidang seni.

Setiap tahun, pasti ada saja perkara baru dirancang kumpulan yang dianggotai Isman Nadim Isam (ketua kumpulan), Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim mengukuhkan syarikat perniagaan yang dimiliki.

Menurut Isman, daripada menjadi duta kepada syarikat lain untuk program menunaikan umrah, lebih baik Hijjaz Records sendiri menganjurkan program sedemikian. Ini kerana, kontrak menjadi duta hanya bertahan untuk beberapa tahun saja.

Bagaimanapun, jelasnya, ia bukan bermakna wujud salah faham antara Hijjaz Records dengan syarikat yang menganjurkan program itu. mengenai pakej umrah yang ditawarkan.

Katanya lagi, itu tidak semestinya seluruh anggota Hijjaz turut serta setiap kali menunaikan umrah. Kemungkinan hanya satu atau dua anggota saja terbabit kerana pakej umrah yang ditawarkan ini tidak membabitkan anggota Hijjaz.

Isman berkata, ini disebabkan Hijjaz Records hanyalah syarikat yang menganjurkan pakej ini bersama agensi daripada Legend Tours.

“Sebelum ini Hijjaz tidak tahu ada banyak pihak bersedia membuka pintu menjalinkan usaha sama seperti ini. Tumpuan Hijjaz kini tentulah kepada bisnes terbaru kami ini. Kita mengajak lebih ramai rakan-rakan artis dan peminat mengerjakan umrah bersama-sama kami.

“Sasaran kami, mungkin setiap bulan atau dua bulan sekali kita embawa pelanggan menunaikan umrah. Kami akan merangka beberapa strategi supaya pelanggan mempunyai kenangan indah apabila mereka memilih Hijjaz Records dan Legend Tours,” kata Isman lagi.

Memorandum perjanjian persefahaman ditanda tangani oleh Pengarah Urusan HRSB, Mohd Sharudin Dawam serta wakil dari Legend Tours, Siti Norhaliza Abd Wahab.

Pada majlis itu juga, Hijjaz turut melancarkan album ke-17 mereka iaitu Pelita Hidup V - Panggilan Baitullah. Album terbaru ini menjadi alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai masa untuk merujuk kepada buku panduan menunaikan haji mengetahui mengenai ibadat haji dan umrah tanpa had masa dan lokasi.

Jelas Isman, album berkenaan siap sejak Ramadan yang lalu dan mula berada di pasaran sebulan sebelum jemaah haji berangkat ke Tanah Suci. Bagaimanapun kerana beberapa perkara, majlis pelancarannya terpaksa ditangguhkan. Sambutan terhadap album Pelita Hidup sejak ia diperkenalkan pada 1998 hingga sekarang cukup menggalakkan.

“Album Pelita Hidup V ini sudah terjual sebanyak 20,000 unit dalam masa dua bulan. Penjualan Pelita Hidup memang tidak pernah mengecewakan, malah Pelita Hidup I terjual lebih 100,000 unit.

“Walaupun sambutan terhadap album Pelita Hidup mendapat maklum balas menggalakkan, Hijjaz tidak boleh melupakan terus pada album penuh. Dua tahun juga kami tidak muncul dengan album penuh selepas album Damai, kami rasa rugi juga jika tidak buat.

“Insya Allah kami akan hadir juga dengan album baru kerana banyak peminat terutama golongan muda yang menantikan album kami,” kata Isman.

Sejak kategori Penyanyi Nasyid Popular diwujudkan di dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), nama Hijjaz tidak pernah ketinggalan dipilih peminat untuk ke Top 5. Tahun ini, sekali lagi Hijjaz berjaya mengungguli carta itu. Namun sekali lagi mereka tidak menaruh harapan tinggi menggunung.

“Sepuluh tahun kami memanjat Genting Highlands tapi nasib belum berpihak kepada kami. Peluang untuk Hijjaz ada, cuma mungkin rezeki saja belum tiba.

“Apa pun kami tetap bersyukur, bagi Hijjaz tercalon hingga Top 5 pun boleh dikira sebagai popular. Bayangkan daripada hampir 30 kumpulan yang disenaraikan, kami berjaya hingga peringkat akhir. Itu sudah cukup menggembirakan kami. Kami tidak pernah kecewa dan amat berterima kasih kepada Berita Harian kerana menaikkan industri muzik,” kata Isman mewakili rakan-rakannya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Arash berbulan madu di Ireland
New postPosted: 2008-02-16, 11:24:53 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Rozdan Mazalan

Majlis persandingan sambut menantu diadakan dalam suasana sederhana tetapi tetap meriah

WALAUPUN tidak ada publisiti meluas seperti kebanyakan artis, majlis persandingan pelakon popular, Arash Mohd di rumah keluarganya di Kajang, Selangor tetap dianggap meriah dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu.

Menggabungkan pakaian kontemporari dan tradisional, Arash dan isterinya, Noor Afidahwati Mohamad atau Fid mengenakan baju warna biru firus, masing-masing tidak putus dengan senyuman apabila disapa dan diusik oleh tetamu yang hadir ketika mereka berjalan menuju ke rumah pengantin.

Bagaimanapun, entah kenapa perasaan sayu dan sebak dapat dilihat pada Arash sebaik saja dia terpandang kedua orang tuanya yang sedang menunggu di ‘pintu gerbang’ dengan tenang.

Saat itulah dilihat, pelakon ini yang berjalan beriringan dengan isteri tercinta untuk dipersembahkan ibu dan bapanya dalam adat menyambut menantu yang dianggap sangat menyentuh perasaan sehingga menitiskan air mata di hadapan kedua orang tuanya itu.

Harapannya adalah untuk memohon restu agar perkahwinan yang mula dibina pada 25 Disember tahun lalu dalam majlis pernikahan di kediaman pengantin perempuan

Taman Jasa, Kuala Kangsar, Perak kekal sehingga akhir hayat.

Majlis persandingan di rumah keluarga Arash dimeriahkan dengan iringan paluan kompang yang membawa rombongan mempelai sebelah perempuan yang bersepakat mengenakan pakaian berwarna merah berarak masuk sejauh lebih kurang 80 meter ke kediaman ibu bapa Arash.

Kedatangan Arash dan Fid, 28 bersama rombongan keluarga di pihak pengantin perempuan disambut dengan cukup mesra oleh keluarga di sebelah pengantin lelaki yang juga sepakat mengenakan pakaian berwarna biru firus seperti mana yang dipakai kedua mempelai.

Mempelai kemudiannya dibawa terus mengadap kedua orang tua Arash, iaitu Ramlee Ngah, 75 dan Aminah Shairi, 69 ke pelamin utama berkonsepkan tradisional kontemporari tajaan Puncak Kasih Collections.

Menurut Arash atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee, 38, pihaknya lebih selesa mengadakan majlis yang sederhana namun meriah dengan kehadiran tetamu dan rakan artis lain.

“Buat apa kita perlu berhabis duit semata-mata untuk buat majlis kahwin yang bertujuan menunjuk-nunjuk. Mungkin sejak kecil saya sudah dididik keluarga untuk

sederhana dalam segala hal.

“Walau bagaimanapun kita tidak menghalang bagi mereka yang betul-betul berkemampuan untuk mengabdikan hari sejarah mereka dalam keadaan berbeza-beza” katanya anak ketiga daripada empat beradik ini.

Antara rakan artis yang hadir termasuklah, Datuk Aziz Sattar dan isteri, Datuk Jalaluddin Hassan, Sabri Yunus, Zakiah Anas, Sharifah Shahora, Didie Alias, Ifa Raziah, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Fara Fauzana, Khairul Anuar, Riezman Khuzaimi, Kartina Ayob, Rosnah Johari, Jasmin Hamid, Faizal Ismail.

Tetamu lain yang turut hadir ialah Pengarah Operasi TV3, Datuk Anthony Firdaus Bujang, Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan, Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Farisha Pawanteh dan penerbit Apa-Apa Aje, Rozaini Ahmad.

Majlis diteruskan dengan acara memotong kek kedua mempelai bersama sanak saudara kedua belah pihak dalam keadaan meriah sekali.

Sementara itu, Arash yang ditanya mengenai perancangan untuk berbulan madu hanya mampu tersenyum namun bersedia memberikan jawapan apabila ditanya media.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya bercadang untuk ke Dublin, Ireland untuk melawat adik bongsu saya, Aziz yang bekerja di sana sekali gus merancang berbulan madu kami di sana,” katanya Arash yang juga kini turut dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH) yang bakal diadakan pada Mac depan dalam kategori Pelakon Drama Lelaki Popular.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Himpunan bintang-bintang di RTM Mei ini
New postPosted: 2008-02-16, 11:26:14 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
BERGELAR artis popular dan meniti dunia glamour memang menjadi impian semua. Kenyataan ini mendorong pembabitan seseorang itu menyertai pertandingan nyanyian yang boleh membuka laluan untuk mencapai hasrat tersebut.

Menyingkap kembali sejarah pembabitan penyanyi kelahiran RTM, maka lahirlah rancangan Bintang-Bintang yang bakal bersiaran sebanyak 14 episod ini. Dalam setiap episod, ia membabitkansesi dua orang artis yang kesemuanya 28 orang, di mana mereka pernah menyertai pertandingan seperti Bintang RTM, Bintang HMI, Golden Teen Search, Bintang Gala 2, Suara 90an, Idola Patriotik dan pertandingan Klasik Nusantara.

Menampilkan barisan penyanyi ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Nora, Liza Hanim, Alya dan Dayang Nurfaizah. Begitu juga artis hebat Bintang RTM menampilkan Farawahida, Ramlah Ram, Siti Sarah, Jamal Abdillah, Rey, Rina, Sharifah Zarina, Rohana Jalil, Noraniza Idris, Misha Omar, Izwan Pilus, Azharina dan Nurhasmida,

Tidak ketinggalan bintang kelahiran Suara 90an, Klasik Nasional, Idola Patriotik, Bintang Gala 2, Bintang Asli Remaja seperti Adibah Nor, Ester Khoo, Anis Salwa, Muhaizam, Rosma Dali, Dia Fadilla, Nurfatimah, Sabariah dan Eddie Nazrin yang menyinar bakat mereka dalam industri muzik tanah air.

Sepanjang satu jam bersiaran, rancangan yang masih berlangsung penggambarannya ini dilakukan secara santai dan eksklusif akan menemu bual artis sambil diselang-selikan klip video penyanyi terbabit sebagai imbuhan kepada peminat.

Daya tarikan utama kepada penonton pastinya berlegar sekitar perkongsian cerita sensasi artis yang sememangnya begitu dinanti-nantikan peminat terutama di kalangan peminat fanatik penyanyi terbabit. Malah menariknya, penyanyi yang terbabit akan berkongsi sama cerita jerih-perih bergelumang dengan realiti sebenar menjadi seorang artis. Ia berguna sebagai tip kepada pendatang baharu atau pun kepada individu yang berminat melebarkan sayap menjadi artis rakaman.

Meskipun Bintang-Bintang dijangkakan menemui penonton sekitar bulan Mei 2008, namun pastikan penonton tidak melepaskan peluang keemasan menonton program yang bermanfaat kepada peminat dan penyokong industri muzik tempatan ini.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Amy Winehouse kuasai Anugerah Grammy ke-50
New postPosted: 2008-02-16, 11:27:48 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Susunan Serimah Mohd Sallehuddin

Herbie Hancock, Michael Buble, Justin Timberlake turut menang dalam kategori masing-masing

PENYANYI soul British yang mempunyai masalah displin teruk, Amy Winehouse, mendominasi Anugerah Grammy ke-50 yang berlangsung di Staples Centre, Los Angeles, semalam.

Penyanyi berumur 24 tahun ini membolot lima trofi iaitu Artis Baru Terbaik, Rekod Terbaik, Vokal Pop Wanita Terbaik, Vokal Pop Dalam Album Terbaik untuk single Rehab dan Album Pop Terbaik menerusi Back To Black.

Bagaimanapun, Winehouse yang tidak dapat menghadiri majlis berkenaan berikutan masalah pengurusan visa, hanya menerima keputusan dan membuat persembahan menerusi satelit dari London.

Menerima anugerahnya untuk Rekod Terbaik, Winehouse yang kelihatan menawan, berterima kasih kepada suaminya Blake Fielder-Civil yang tidak dapat bersama berkongsi kegembiraan kerana sedang berada di dalam penjara, hanya ditemani ibunya Janis.

“Anugerah ini adalah untuk Blake yang berada di dalam penjara dan juga kepada London, ini adalah untuk Lodon,” kata Winehouse yang pernah dimasukkan ke pusat pemulihan di British bulan lalu berikutan masalah penggunaan dadah. Disebabkan masalahnya itu visa Winehouse ke Amerika Syarikat tidak diterima dan hanya ia hanya diluluskan saat akhir iaitu pada Jumaat lalu.

Penyanyi Rap, Kanye West turut mengungguli banyak kategori pada malam itu. Kanye yang menerima lapan pencalonan berjaya membawa pulang tiga trofi menerusi Persembahan Solo Rap Terbaik, Persembahan Rap Berkumpulan Terbaik dan Lagu Rap Terbaik.

Kanye yang turut membuat persembahan pada malam itu turut mengambil kesempatan memperingati mendiang ibunya, Donda yang meninggal dunia selepas menjalani rawatan kecantikan. Bagaimanapun, Kanye bersikap sinikal apabila meminta supaya lagu yang mengiringi ucapannya dihentikan.

“Mama, hanya yang ingin saya lakukan sekarang adalah menjadikan Mama bangga,” katanya.

Selain Winehouse dan Kanye, beberapa penyanyi yang turut membuat persembahan pada malam itu ialah gabungan yang cukup menghangatkan daripada Tina Turner dan Beyonce. Turut menghiburkan penonton ialah John Mayer, Foo Fighter dan penyanyi opera buta, Adrea Bocelli.

Sementara itu, penantian pemuzik jazz, Herbie Hancock selama 43 tahun menjadi kenyataan apabila dia menerima anugerah yang paling didambakan semua, iaitu Album Terbaik. Herbie Hancock menerima anugerah berkenaan bagi album River: The Joni Letters.

“Selama 43 tahun menanti, akhirnya album dan penyanyi jazz diiktiraf buat pertama kali. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana akhirnya akademi memecahkan tradisi buat pertama kali. Terima kasih kepada Miles Davis dan John Coltrane, bagi saya mereka lebih berhak menerima anugerah ini.

“Ini adalah satu hari baru yang membuktikan sesuatu yang mustahil boleh terjadi,” katanya yang menewaskan calon lain iaitu Foo Fighter, Vince Gill, Kanye West dan Winehouse. Penyanyi rock veteran, Bruce Springsteen yang menidakkan kemenangannya bagi kategori teratas bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang anugerah bagi Persembahan Vokal Rock Solo Terbaik, Persembahan Rock Instrumental Tabik dan Lagu Rock Terbaik-Radio Nowhere.

Bekas anggota Beatle, Sir Paul McCartney antara penyanyi yang turut tercalon. Bagaimanapun senioriti tidak menjanjikan apa-apa abapila dia tewas di tangan penyanyi baru, Justin Timberlake untuk Persembahan Pop Vokal Lelaki Terbaik dan kepada Amy Winehouse untuk Vokal Pop Album Terbaik.

Michael Buble pula membawa pulang Vokal Pop Tradisional Album Terbaik menerusi lagunya Call Me Irresponsible yang turut menyaksikan persaingan antara James Taylor dan Barbra Streisand. Sementara itu, kumpulan klasik rock, Band menerima Anugerah Sepanjang Zaman.

Carrie Underwoods bintang realiti yang dilahirkan daripada Amercian Idol mempertahankan kedudukannya apabila memenangi dua anugerah iaitu untuk Persembahan Vokal Country Terbaik Wanita menerusi lagu Before He Cheats. Manakala Alicia Keys pula memenangi Persembahan Vokal R&B Wanita Terbaik menerusi lagu No One.


FAKTA: Pemenang Anugerah Grammy Ke-50

* Rakaman Terbaik - Amy Winehouse (Rehab)

* Album Terbaik - River: The Joni Letters - Herbie Hancock

* Lagu Terbaik - Rehab - Amy Winehouse, penulis lirik (Amy Winehouse)

* Artis Baru Terbaik - Amy Winehouse

* Vokal Pop Lelaki - What Goes Around...Comes Around - Justin Timberlake

* Vokal Pop Wanita - Rehab - Amy Winehouse

* Pop Duo/Berkumpulan - Makes Me Wonder - Maroon 5

* Album Pop Tradisional - Call Me Irresponsible - Michael Bublé

* Album Pop - Back To Black - Amy Winehouse

* Vokal Lelaki R&B - Future Baby Mama - Prince

* Vokal Wanita R&B - No One - Alicia Keys

* R&B Duo/Berkumpulan - Disrespectful - Chaka Khan Featuring Mary J. Blige

* Lagu R&B - No One - Dirty Harry, Kerry Brothers & Alicia Keys, songwriters (Alicia Keys)

* Album R&B - Funk This - Chaka Khan

* Rap Solo - Stronger - Kanye West

* Rap Duo/Berkumpulan - Southside - Common Featuring Kanye West

* Album Rap - Graduation - Kanye West

* Lagu Rap - Good Life - Aldrin Davis, Mike Dean, Faheem Najm & Kanye West


Top
 Profile  
 
 Post subject: Peguam yang penuh konspirasi dalam Damages
New postPosted: 2008-02-16, 11:28:47 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Rozdan Mazalan

BERMACAM helah dan tipu daya mewarnai Damages, drama bersiri Inggeris terbaru berkonsepkan undang-undang yang bakal disiarkan bermula malam ini.

Drama yang disiarkan setiap Selasa jam 11.00 malam menerusi RTM2 mengisahkan sekumpulan pendakwa raya tinggi di Bandar New York yang dinaungi oleh Patty Hewes lakonan Glenn Close.

Taraf hidupnya berada dalam kelas atasan membuatkan Patty Hewes disanjung tinggi dan memiliki pengaruh yang tersendiri. Namun Patty berfikiran lebih jauh memastikan ilmu dan pengalamannya tidak terbuang begitu saja, dia mengambil Ellen Parsons lakonan Rose Byrne yang masih muda dan bercita-cita tinggi menjadi anak didiknya.

Di bawah pengaruhnya, Patty berjaya menyenaraikan nama Ellen dalam persatuan yang diterajuinya pada tahun pertama di firma guaman tinggi bernama Hewes & Associate. Namun sejak itulah tercetus perubahan dalam diri setiap seorang daripada mereka.

Hakikat itu mendorong teman lelaki Ellen, David Connor teruja mahu menyusuli peringkat pencapaiannya teman wanitanya itu. Dia kemudiannya dilatih oleh Tom Shayes salah seorang daripada pekerja yang dipercayai sepenuhnya oleh Patty.

Dalam pada itu, Ellen mula membayangkan imbuhan dan pulangan yang lebih besar bakal diperoleh pada masa akan datang meskipun terpaksa berdepan risiko bahaya menerusi kes yang diterima dan dikendalikan.

Fokus Hewes & Associates pula mula lebih tertumpu kepada kes berat membabitkan tuduhan rasuah ke atas Athur Frobisher seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang kaya raya. Kekayaan pelanggannya itu membutakan mata Patty untuk membuatkan pelanggannya itu jatuh muflis.

Di luar pengetahuan Patty, Ellen yang memiliki agenda sendiri bijak bertindak menyusun strategi bersama Tom Hayes untuk memanipulasikan keadaan wanita itu. Patty tidak dibenarkan sama sekali menggunakan jalan mudah untuk mencapai kekuatannya bagi meraih kekayaan Fobisher yang memiliki harta melimpah ruah.

Di sebalik usaha keras Patty bertarung menentang Fobisher dan orang kepercayaannya, Ray Fiske dan Ellen Parsons yang berada di antara saksi, licik bertindak untuk menjadi duri dalam daging mengambil kesempatan membolot keseluruhan kos.

Drama ini dibintangi Glenn Close, Rose Byrne, Zeljko Ivanek, Noah Bean, Tate Donovan dan Ted Danson.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Air mata gembira
New postPosted: 2008-02-16, 11:33:16 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Image
AIR mata yang gugur di majlis persandingannya kelmarin
sudah cukup menceritakan betapa bermaknanya detik
bersejarah itu dalam hidup pelakon popular, Arash Mohd.
2 destinasi bulan madu

Malah, majlis persandingan di pihak lelaki itu adalah saat paling dinantikan Arash dan keluarganya, sekaligus menunaikan impian ibu dan ayah untuk menyaksikannya bersanding di rumah dengan disaksikan orang kampung dan sanak saudara jauh dan dekat.

Maklumlah, majlis pernikahannya sebelum ini berlangsung secara sederhana dan dihadiri keluarga terdekat saja kerana menghormati permintaan keluarga pihak perempuan.

Apatah lagi, Arash anak ketiga dari empat beradik itu paling akhir menamatkan zaman bujang berbanding dua abang dan seorang adik lelakinya yang sudah membina keluarga lebih awal.

Bagi Arash yang segak dengan kostum warna biru firus sentuhan De Zaine Boutique & Bridal di Ampang Point, air mata yang menitis di pipinya itu tanda gembira kerana majlis persandingannya berjalan lancar seperti direncanakan.

“Sukar saya menahan air mata ini dari terus menitis kerana bukan saja ini hari bahagia saya dan isteri, tapi dapat menggembirakan ibu dan ayah yang sudah lama ingin melihat saya berumah tangga.

“Maklumlah, hubungan saya dan keluarga begitu erat, begitu juga dengan hubungan saya dan keluarga isteri. Justeru, saya memang sangat terharu melihat wajah insan yang saya sayang sama-sama hadir meraikan hari persandingan ini,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Jalan Sungai Sekamat, Batu 12 1/2 Jalan Cheras, Kajang.

Selain memilih majlis persandingan berkonsepkan tradisional dan kontemporari, menu makanan yang disajikan pada tetamu juga unik dengan menampilkan judul drama lakonan dramatis kacak ini.

Antaranya Nasi Beriyani Seputih Qaseh Ramadhan, Ayam Golek Iris, Daging Masak Hitam Jatuh Cinta Sekali Lagi, Dalca Sayur Enot, Acar Buah Kalau Dah Jodoh, Papedom Tersungkur Mahligai Kasih, Buah Oren Limah Putrajaya dan Sirap Oren Mya Zara.

Selepas bersanding, acara menepung tawar dimulakan ibu bapa pengantin perempuan disusuli acara makan beradab serta diakhiri acara memotong kek. Ibu bapa Arash, Ramlee Ngah, 75, dan Aminah Shairi, 69, turut memotong kek ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50.

Ia turut dihadiri ramai rakan artis seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Aziz Sattar, Shaharuddin Thamby, Vanidah Imran dan suami, Rashidi Ishak; Riezman Khuzaimi dan isteri, Kartina Ayob; Rosnah Johari, Jasmin Hamid, Didie Alias, Ifa Raziah dan Sharifah Shahora.

Tidak ketinggalan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawanteh, Penerbit Ape-Ape Aje, Rozaini Ahmad, Pengacara 999, Zakiah Anas serta penyampai Hot FM, Fara Fauzana dan Faizal Ismail.

Dalam pada itu, Arash atau nama sebenarnya, Azman Shah Ramlee, 38, dan pasangannya, Noor Afidahwati Mohamad (Fid), 28, selamat dinikahkan di rumah keluarga perempuan di Taman Jasa, Kuala Kangsar, Perak pada 25 Disember lalu.

Pada majlis sederhana itu, Arash membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan oleh pihak perempuan. Afidahwati yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kreatif di Astro, turut menerima wang hantaran RM8,888 serta mas kahwin RM101.

Mengenai keistimewaan Fid hingga membuat hatinya tertawan, Arash berkata, dia memilih Fid kerana gadis manis itu menghormati orang tua.

“Sekalipun usia kami berbeza 10 tahun, saya harap usia matang ini dapat membantu saya melayari kehidupan rumah tangga dengan dilimpahi kasih sayang tidak bertepi.

“Selain itu, kami mempunyai hobi dan minat sama iaitu meminati bowling. Pada masa sama, kami juga kaki wayang dan cerita yang menjadi kegemaran kami adalah animasi box office Hollywood, Happy Feet,” katanya.

Pasangan ini mula berkenalan lima tahun lalu tetapi hubungan mereka mula akrab kira-kira setahun lalu hingga membibitkan perasaan cinta, seterusnya diakhiri dengan ikatan pertunangan pada 28 Julai lalu.

Selepas majlis persandingannya itu, Arash yang dicalonkan dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) bagi kategori Pelakon Lelaki Popular bercadang membawa isteri tercintanya berbulan madu terlebih dulu di calet pakciknya di Pulau Pangkor, Perak.

“Insya-Allah, jika tiada aral kami merancang berbulan madu di Dublin, Ireland kerana secara kebetulan adik saya bekerja dan menetap di sana.

“Adik saya juga bercadang membawa kami suami isteri melawat tempat menarik sekitar Dublin nanti,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Rohaya sanggup pelihara anak Razak
New postPosted: 2008-02-16, 11:35:43 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Image
RINGKAS dan penuh makna. Demikianlah majlis
perkahwinan pelakon dan penyanyi, Abdul Razak
Ahmad, 41, bersama pasangannya, Rohaya Md
Noor, 20, yang berlangsung di Kampung Lurah
Bilut, Bentung, Pahang, petang kelmarin.
Selepas hampir setahun berkenalan dengan pasangannya, Razak memilih mengadakan majlis pernikahan serba ringkas di Masjid Falahi Lurah Bilut, diikuti majlis kenduri di kediaman pengantin perempuan.

Dengan sekali lafaz, Razak yang popular dengan program televisyen, Hikayat Putera Shalan yang disiarkan menerusi saluran Astro, dinikahkan jurunikah merangkap imam masjid itu, Zakaria Ismail sambil disaksikan saudara mara dan kenalan terdekat.

Pada majlis pernikahan itu, Razak menyerahkan mas kahwin RM22.50 serta wang hantaran RM5,000.

Razak berkata, dia tidak perlu menunggu tempoh yang agak lama untuk berumah tangga selepas lebih setahun hidup menduda kerana sikap jujur dan matang Rohaya membuatkan dia tertarik untuk memperisterikannya.

“Sikap penyayang kepada anak-anak, suka berterus terang dalam apa jua perkara membuatkan saya senang bersamanya.

“Malah, pada usia masih muda, dia ternyata menunjukkan sikap yang matang.

Apa yang lebih penting, dia begitu memahami saya.

“Saya berharap biarlah perkahwinan ini menjadi titik terakhir perkahwinan saya dan semoga ia berkekalan sehingga ke anak cucu,” katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah.

Hasil perkahwinan sebelum ini, Razak mempunyai lima anak iaitu Abdul Rahman, 13 dan Norain Natasha, 11, hasil perkahwinan pertama dan tinggal bersama ibu mereka manakala Siti Maisarah, 9, Abdul Muiz, 6, dan Abdul Muaz, 3, hasil perkongsian hidup dengan isteri kedua, tinggal bersamanya.

Sementara itu Rohaya yang turut memanjatkan kesyukuran kerana segala urusan perkahwinan berjalan lancar menyifatkan perkahwinannya adalah atas dasar suka sama suka dan tidak membabitkan perkara lain.

“Saya tidak mahu dianggap menumpang populariti atau sebaliknya apabila berkahwin dengan suami yang juga pelakon dan penyanyi.

Saya berasakan dia adalah jodoh saya sejak perkenalan pada April tahun lalu.

“Saya juga tidak menganggap ia sebagai satu beban yang besar apabila terpaksa menggalas peranan sebagai ibu kepada tiga anak. Saya tetap akan menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anak, keluarga dan suami,” katanya.

Mengenai detik perkenalan mereka, Razak berkata mereka bertemu kali pertama ketika diundang mengadakan persembahan di kampung halamannya biarpun Rohaya hanya hadir menyaksikan majlis berkenaan.

“Kebetulan bapanya, Mat Sam (Akub) cukup minat menyanyi. Rohaya diperkenalkan oleh bapanya. Dari situ bermula detik perkenalan saya bersama Rohaya.

“Selepas beberapa bulan berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing, saya mula menyatakan hasrat untuk memperisterikannya dengan menghantar rombongan meminang Ogos lalu. Dia berasal dari Terengganu tetapi sudah lama menetap di Lurah Bilut,” katanya.

Razak berkata, dia ada rancangan untuk mengadakan majlis sama di Kuala Lumpur nanti tetapi segalanya bergantung kepada keadaan disebabkan sibuk dengan urusan kerja.

“Untuk majlis perkahwinan ini pun saya hanya menyediakan cincin untuk isteri manakala barang hantaran terpaksa diketepikan dulu kerana beberapa faktor.

“Apa yang penting bagi saya ialah membina ikatan perkahwinan yang sah.

Soal bulan madu atau percutian bersama juga masih dalam perancangan,” katanya.

Keputusan Razak mengakhiri zaman dudanya sejak bercerai dengan isteri kedua pada 2006, menggembirakan ahli keluarga dan teman rapatnya.

Razak berharap perkahwinan ketiganya ini mampu mengubah kehidupan anakanaknya yang memerlukan perhatian seorang ibu.

“Apabila usia sudah mencecah 41 tahun, saya tidak lagi memikirkan perkara lain dalam perhubungan selain nasib anak-anak. Bukan mudah bergelar ayah tunggal kerana tanggungjawabnya besar.

“Alhamdulillah, anak saya bersama isteri pertama membesar dengan baik.

Pelajaran mereka juga bagus. Baru-baru ini Abdul Rahman mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah,” katanya.

Katanya, dia kini sibuk berlakon dalam beberapa siri drama dia dijangka membuat penampilan menerusi album tidak lama lagi.

“Setakat ini, saya bekerja di bawah syarikat Karya Hadani Sdn Bhd yang mempunyai beberapa anak syarikat yang melakukan pelbagai perniagaan seperti mengadakan program persembahan, penganjur majlis dan macammacam lagi.

“Saya pula ada perancangan untuk melakukan ‘comeback’ dengan merakamkan album selepas mendapat tawaran daripada Pengerusi Dina, Ustaz Harun Md Saad. Besar kemungkinan saya merakamkan lagu berbentuk qasidah, agama dan ketuhanan,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Yana tak sabar tunggu peminat
New postPosted: 2008-02-16, 11:38:22 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Image
SEJAK diberi kepercayaan mengarahkan filem
Selamat Pagi Cinta (SPC), nama Norliana
Samsudin atau lebih mesra dipanggil Yana,
semakin dikenali. Apatah lagi, dia pengarah
wanita paling muda apabila diberi peluang itu
ketika usia 24 tahun.
Secara peribadi, Yana mengakui dia tidak sabar menanti filem sulung arahannya menjengah pawagam hujung tahun ini. Pada masa sama, dia takut menanti reaksi peminat.

“Saya belum melihat hasilnya kerana belum siap disunting lagi. Proses suntingan filem ini dijangka bermula semalam. Sebagai pengarah, bahagian pos produksi inilah paling mencabar sekali.

“Tapi saya yakin dengan kemampuan ketika penggambaran filem ini dulu saya sudah beri komitmen seratus peratus.

“Saya juga yakin SPC mampu menarik ramai peminat ke panggung terutama generasi muda kerana kekuatan jalan cerita dan barisan pelakonnya yang hebat.

“Apa yang menarik, ada dua cerita berbeza dipaparkan iaitu cinta zaman kolej (cinta Que Haidar dan Sharifah Amani) dan kisah cinta pasangan muda yang berkahwin (Pierre Andre dan Fazura).

“Saya sudah bersedia menerima apa saja reaksi penonton sama ada positif ataupun negatif. Mungkin kerana saya pernah gagal ketika buat album dulu dan selepas itu gagal pula dalam percintaan hingga menjadikan saya insan lebih tabah.

“Kalaulah filem ini tak berjayapun, saya masih boleh terima kenyataannya,” katanya.

Katanya, pengalaman mengarahkan filem SPC paling berharga dalam hidupnya kerana dirinya masih dalam proses belajar.

“Antara pengalaman berharga saya timba ialah kita perlu cepat buat keputusan kerana filem ini membabitkan ramai orang termasuk kru dan pelakon.



“Selain itu, saya bekerja dengan pelakon yang sudah ada nama seperti Pierre, Fazura, Que Haidar dan Sharifah Amani,” katanya.


Yana juga menafikan SPC adalah filem acuan Pierre dan Ahmad Idham seperti diperkatakan segelintir pihak.

“SPC adalah karya saya. Ahmad Idham cuma penasihat pertama dan Piere pula penasihat kedua dalam filem ini. Sebagai pengarah, saya perlu menggunakan kreativiti sendiri dan sebarang keputusan penting, sayalah yang memutuskannya,” katanya.

Buat masa ini, Yana adalah penuntut semester lima dalam jurusan Seni Layar Skrin di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam secara sepenuh masa.

“Pada siang hari, saya sibuk dengan pengajian dan pada sebelah malam pula saya mengetuai kru produksi buat suntingan filem ini.

“Saya akan menamatkan pengajian pada akhir tahun ini dan kembali mengarah filem apabila menamatkan pengajian nanti. Saya juga ditawarkan MIG Beat Sdn Bhd untuk mengarah filem kedua walaupun hasil SPC belum dibuktikan lagi.

“Sebenarnya saya ingin berkarya dengan cara sendiri. Kalau boleh saya ingin mengarah dengan skrip sendiri kerana selain kisah cinta, saya juga minat genre thriller dan kanak-kanak,” katanya.

Mengenai cintanya dengan Pierre yang putus di tengah jalan dan mungkin SPC kembali menyatukan mereka berdua, Yana hanya memberitahu hubungannya dan Pierre lebih pada urusan profesional.

“Memang kami bercinta selama tiga tahun dan selepas penggambaran filem 9 September (arahan Pierre), hubungan kami putus begitu saja dan dia tidak menghubungi saya lagi.

“Sebagai pengarah, saya perlu bersikap profesional di lokasi SPC dan tidak boleh mengelak untuk berjumpanya kerana kami bekerjasama dalam filem berkenaan,” katanya.

Yana juga tidak berani memberi sebarang komen sama ada dia akan menerima semula Pierre dalam hidupnya selepas ini. Ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baru Cina MIG Group di Restoran Lemon, Selayang Mall, baru-baru ini Yana dan Pierre kelihatan mesra bersama.

“Cinta tidak boleh dipaksa. Bagi saya, biarlah Pierre matang dulu dan capai apa yang dia inginkan dalam hidupnya. Siapapun gadis pilihannya nanti saya tetap mendoakan kebahagiaannya,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Mahu kawin lelaki Melayu
New postPosted: 2008-02-16, 11:39:20 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

SEKIAN lama hidup bersendirian, tahun ini Wendy Wong mengharapkan dipertemukan jodoh. Lebih menarik apabila dia berhasrat menamatkan zaman solonya dengan lelaki Melayu kerana sejak kecil dia didedahkan dengan budaya dan adat resam Melayu di tanah kelahirannya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Wendy menghabiskan sebahagian zaman remajanya belajar di Hong Kong dan apabila kembali ke tanah air hampir 20 tahun lalu, dia terus menetap di Kuala Lumpur.

Sesekali pulang ke kampung, keindahan dan kemeriahannya tidak sama sebagaimana pernah diharunginya ketika di alam kanak-kanak dulu.

“Emak sudah lama meninggal dunia. Bapa pula 'menuruti' emak pada 1997. Waktu bapa masih ada, setiap tahun saya menyambut Tahun Baru Cina (TBC) bersamanya di Tanjung Bungah, tetapi sekarang tidak lagi.

“Adik-beradik pun ramai menetap di luar negara termasuk di Jepun, Amerika Syarikat, China dan Hong Kong,” katanya.

Wendy mengakui sejak ibu bapanya tiada, tumpuannya lebih kepada kerja. Dia baru balik dari Eropah membuat program televisyen di sana.

“Saat sibuk bekerja, hati tidak begitu merindui kampung halaman, tetapi apabila tiba sambutan TBC, hati meronta untuk pulang ke desa.

“Di kampung dulu saya banyak bergaul dengan orang Melayu sehinggalah sekarang. Saya seronok melihat rakan Melayu yang pasti akan pulang ke desa tercinta setiap kali tiba Hari Raya Puasa.

“Saya boleh rasakan kemeriahan sambutan hari raya di kampung bersama ibu bapa dan kaum keluarga. Justeru, saya tidak kisah dipertemukan jodoh dengan lelaki Melayu.

“Sejak balik dari Hong Kong, saya mempunyai ramai kawan Melayu, antaranya Norlida Ahmad (Connie). Bagi meraikan kawan-kawan Melayu berhari raya dan ingin turut merasai sekali kemerihan hari lebaran itu, setiap tahun saya beli sepasang dua baju kurung dan kurung Kedah.



“Saya juga pernah belajar berpuasa tetapi separuh hari saja. Saya suka budaya orang Melayu yang begitu rapat dengan orang tua di kampung.


“Menjelang perayaan, amalan biasa masyarakat Tionghua berkumpul pada malam TBC untuk 'makan besar'. Bagi golongan berada, mereka lebih suka bercuti di luar negara. Keseronokannya seketika cuma,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Wendy, dalam apa jua situasi orang Melayu tetap balik kampung. Ia sudah menjadi kemestian kepada mereka. Kalau tidak pulang ke kampung, bagaikan tidak sempurna hari raya pada tahun itu.

“Sekarang, apabila mendengar kawan-kawan balik kampung, rindu membuak untuk pulang tetapi sudah tiada sesiapa lagi di sana.

“Malaysia sebuah negara istimewa kerana berbilang bangsa tinggal di dalamnya. Setiap kaum menghormati budaya kaum lain. Jadi, bagi saya, tiada masalah jika saya berkahwin dengan orang Melayu kerana selama ini kita hidup aman dan bahagia dalam satu negara,” katanya.

Mengenai TBC yang jatuh pada Tahun Tikus baru-baru ini, Wendy berkata dia membuat persiapan sederhana saja. Sebelah malam dia menyediakan juadah makan besar yang dinikmati bersama adik angkat di rumahnya.

“Kalau pada hari biasa saya jarang masak kerana makan seorang, tetapi saya akan bertungkus lumus di dapur pada TBC menyediakan pelbagai juadah untuk tetamu.

“Saya tidaklah mahir memasak, sebab itu apabila ke dapur mesti ada buku resipi sebagai rujukan.

“Barangkali selepas berkahwin nanti, keraplah saya ke dapur untuk memasak hidangan kegemaran suami. Asyik bercakap mengenai perkahwinan, teman lelaki pun tak ada lagi,” katanya bergurau.


Top
 Profile  
 
Display posts from previous:  Sort by  
Post new topic Reply to topic  [ 18 posts ]  Go to page 1, 2  Next

All times are UTC + 8 hours


Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 1 guest


You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum

Search for:
Jump to:  
cron
Powered by phpBB © 2000, 2002, 2005, 2007 phpBB Group
Free Forum : phpbb3now.com

PlayStation style by Scott Stubblefield