It is currently 2010-09-03, 03:02:23 am

All times are UTC + 8 hours





Post new topic Reply to topic  [ 18 posts ]  Go to page 1, 2  Next
Author Message
 Post subject: HIBURAN: JUMAAT 15 FEBRUARI 2008
New postPosted: 2008-02-21, 08:44:00 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Semakin matang bersama MHI

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Image
Wardinah Saffiyah


Wardinah Saffiyah tak kisah bangun jam 4 pagi bersiap ke studio

WAJAH dan celoteh wanita kacukan Australia-Acheh ini tidak lagi menghiasi program bual bicara mengenai dunia wanita dan keluarga di slot Wanita Hari Ini (WHI) sejak awal Januari lalu.

Wardina Saffiyah Fadhlullah, 29, kini memikul tugas lebih berat apabila dia dipertanggungjawab mengendalikan program lebih serius, Malaysia Hari Ini (MHI) bersama barisan mantap Ally Iskandar, Abby Fana, Fenda dan Ahmad Fedtri Yahya.

Jiwa dan mindanya, kata ibu muda kepada dua cahaya mata perempuan ini, sebenarnya masih lagi melekat kepada WHI. Sebagai wanita, tentulah hatinya cenderung kepada program berkaitan keibubapaan dan kewanitaan. Meskipun hatinya amat berat meninggalkan WHI tetapi Wardina harus akur dengan tanggungjawab baru itu.

“Saya berterima kasih kepada pihak TV3 kerana memberi peluang mengacara di stesen mereka. Mungkin jika tidak diberikan peluang ini, saya tidak mempunyai keyakinan mengendalikan program secara langsung.

“Dua setengah tahun bersama WHI, banyak pengalaman yang saya kutip. Pada masa yang sama juga ia membantu saya memperbaiki diri. Memang pada mulanya agak berat untuk meninggalkan program yang saya rasakan sudah sebati dengan jiwa saya, sebuah program yang saya sudah faham rentaknya.

“Tetapi saya harus akur dengan arahan ini. Jika dulu saya ditawarkan untuk mengendalikan MHI mungkin saya masih belum bersedia. Sekarang mungkin waktu yang tepat untuk saya cuba mengendalikan program berbeza,” katanya yang masih lagi cuba menyesuaikan diri.

Menurut Wardina, sejak mengendalikan MHI, dia harus bangun seawal jam empat pagi untuk bersiap sedia ke studio. Agak penat tetapi dia kini sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan jadual kerjanya. Si kecil Amna Nafeesa, 5, dan Azra Sareera, setahun enam bulan juga sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan jadual kerja ibu mereka.

Namun, kata Wardina ada juga hikmahnya dia bekerja di waktu pagi kerana banyak perkara yang boleh dilakukan pada sebelah petang dan menumpukan lebih perhatian kepada anak-anak.

Bagaimanapun selepas pulang bertugas, dia memastikan akan melelapkan mata meskipun cuma sebentar bagi merehatkan badan yang keletihan akibat bangun awal pagi.

“MHI adalah satu proses kematangan untuk saya. Mungkin kerana kelantangan, ketegasan dan suka membincangkan topik kritikal menyebabkan saya ditukarkan kepada MHI. Saya masih lagi menyesuaikan diri dan mungkin ia akan mengambil sedikit masa,” katanya yang gemar membaca.

Kesibukan tidak pernah menghalang pengacara yang juga pernah bergelar pelakon ini untuk membaca. Minat membaca dipupuk bapanya sejak kecil lagi hingga terbawa-bawa sampai sekarang. Walau sesibuk mana sekali pun dia akan memastikan memperuntukkan waktu untuk membaca.

Katanya, dia suka membaca pendapat orang dan membaca rencana. Jika tidak sempat, Wardina akan menggunting keratan akhbar dan meletakkannya di dalam beg yang kemudiannya akan dibaca apabila ada saja waktu terluang.

Sewaktu kecil bapanya tidak membelikan mereka adik beradik mainan tetapi digantikan dengan buku. Malah di rumah keluarga mereka dulu ada sebuah perpustakaan kecil yang dipenuhi pelbagai jenis buku. Mereka turut dibawa mendengar ceramah ilmiah.

Tabiat gemar membaca juga disuntik ke dalam jiwa anak-anaknya. Malah, di bilik anak sulungnya diletakkan rak buku supaya Amna mengikuti jejak langkahnya. Ternyata usaha Wardina tidak sia-sia apabila Amna mendapat anugerah Best English Reader And Most Creative di dalam kelasnya.

Wardina yang memulakan karier pengacaraan menerusi program Hits From RIM mengimpikan untuk bergelar pengacara terbaik satu hari nanti. Dia bersedia untuk belajar supaya sampai cita-cita yang diimpikan itu. Selain itu di tahun 2008, dia ingin meneruskan rancangan yang sudah lama diimpikan iaitu menyambung pelajaran dalam bidang Sains Politik yang terpaksa dilupakan seketika kerana mengandungkan anak kedua.

“Saya nak berehat seketika daripada menambah cahaya mata dan mahu memberikan tumpuan kepada cita-cita saya yang masih lagi belum tercapai iaitu menyambung pengajian dalam bidang sains politik,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Sentuhan Yeop Hitler kutip RM1.5 juta dalam lima hari
New postPosted: 2008-02-21, 08:45:02 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Rozdan Mazalan

KISAH pengembaraan sekumpulan pelajar kolej dalam Dunia Baru The Movie (DBTM) yang mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 7 Februari lalu kini mencatat 1.5 juta hasil kutipan tiket.

Penerbitnya, Ahmad Puad Onah berkata, jumlah itu amat memadai memandangkan dalam masa lima hari ia ditayangkan, pihaknya menerima maklum balas positif penonton.

“Daripada maklum balas yang diterima, ada yang sudah menonton sebanyak dua kali. Mungkin pertama kali menonton mereka sukar untuk mendengar dialog kerana asyik ketawa dengan aksi lucu pelakon.

“Saya amat berpuas hati dengan jalan cerita filem hasil kreativiti pengarahnya Yeop Hitler yang juga kali pertama mengarahkan filem. Memandangkan ini adalah hasil kerjanya yang pertama, saya akur dengan beberapa kelemahan dari segi teknikal namun saya berpuas hati hasil kerjanya.

“Dia juga menyatakan sekiranya pihak kami memberi peluang kali kedua untuk filem akan datang aspek teknikal akan ditekankan.

“Pihak kita tidak mengharapkan kutipan yang terlalu besar melalui filem ini memandangkan DBTM adalah sebuah filem komedi ringan yang mensasarkan kepada remaja dan pelajar kolej.

“Kami mensasar RM2.5 juta saja. Tetapi dalam tempoh lima hari sudah dapat RM1.5 juta. Kami harap agar kutipannya akan bertambah beberapa minggu lagi,” katanya ketika dihubungi Hip.

Menurut Ahmad Puad, pihaknya menghadapi masalah dengan pihak pawagam untuk menayangkan filem ini disebabkan beberapa perkara.

“Antaranya pihak pawagam tidak memberi peluang filem ini ditempatkan di dewan pawagam yang besar kerana pihaknya lebih mengutamakan filem luar seperti CJ7 dan beberapa filem lain.

“Seperti yang sudah diluluskan oleh Wajib Tayang, filem tempatan harus ditempatkan di dewan pawagam yang lebih besar dan harus mengutamakan filem tempatan berbanding filem luar, namun mereka tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan Finas.

“Kita juga sudah membuat aduan kepada Finas mengenai masalah ini namun masih belum menerima apa-apa jawapan. Kita berharap tindakan akan diambil bagi memastikan industri perfileman negara kita dikawal sebaik mungkin.

DBTM yang diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) masih mengekalkan barisan pelakon drama bersiri Dunia Baru seperti Pierre Andre, Elyana, Anne Ngasri, Baizura Kahar, Almy Nadia, Iqram Dinzly, Anita Baharom, Wan Elyas dan Mohd Hafiz.

“Ramai yang bertanya mengapa GBSB menerbitkan filem ini sedangkan drama bersirinya masih ditayangkan di TV3. Dunia Baru yang dihasilkan penulisnya, Wan Haskiza Zainuddin adalah kisah drama kehidupan pelajar kolej paling popular di negara ini. Sejak mula disiarkan di TV3, siri ini mencatat lebih tiga juta penonton,” katanya yang turut mendapat kerjasama Frenclub Mobile kios generasi baru yang dikenali sebagai Pay Station untuk langkah promosi filem ini.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Pemuzik berkampung di Terengganu
New postPosted: 2008-02-21, 08:46:03 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

Festival Gitar Tong Malaysia peluang kongsi ilmu, cungkil bakat

SUDAH lama tidak mendengar cerita mengenai komposer dan penulis lirik terkenal era 80-an, Manan Ngah yang pernah gah dengan lagu pop ciptaannya yang meruntun jiwa pendengar dengan lirik dan seni lagu yang cukup memikat.

Walaupun namanya dalam dunia penciptaan lagu pop semakin sepi, namun beliau kini semakin aktif dalam industri seni kreatif dan sibuk menguruskan perniagaan pengurusan acara yang ditubuhkan sejak setahun lalu melalui syarikatnya, Impak Teroka Sdn Bhd.

Manan yang ditemui pada majlis pelancaran Festival Gitar Tong Malaysia (FGTM) di Muzium Negeri Terengganu anjuran syarikatnya dengan kerjasama kerajaan negeri bersama bahagian Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri serta Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu nampak sungguh bersemangat mempromosikan produk terbaru syarikatnya itu.

Kata anak jati Terengganu ini, FGTM dianggap sebagai buah tangan dan sumbangan peribadinya kepada rakyat Terengganu khususnya yang kurang pendedahan terhadap bidang seni walaupun mempunyai bakat besar untuk diketengahkan.

"Walaupun sudah tidak aktif menghasilkan lagu pop untuk penyanyi popular, saya masih wujud dalam industri seni ini tetapi lebih menumpukan kepada industri kreatif seperti menghasilkan lagu tema dan menguruskan acara seni seperti ini.

"Saya sudah puas mencipta lagu pop untuk artis dan kini saya mahu menyumbang sesuatu yang lebih bermakna kepada masyarakat khususnya kepada golongan muda belia di Terengganu yang dahagakan peluang menimba pengetahuan mengenai muzik.

"Muzik pop kini bukan lagi keutamaan saya. Dengan nama dan pengalaman yang ada, saya mahu teruskan dan kongsi pengetahuan dengan masyarakat umum melalui penganjuran festival seperti ini," ujar komposer lagu Sekadar di Pinggiran dendangan Francisca Peter yang pernah menjadi kegilaan pencinta muzik satu ketika dulu.

Mengulas lanjut buah tangan terbarunya itu, Manan berkata, FGTM adalah yang pertama seumpamanya akan diadakan di Terengganu pada 4 hingga 6 April ini di Muzium Negeri di sini, yang bakal menyuntik semangat kebudayaan baru buat golongan muda dan belia negeri ini.

Beliau berkata, festival seumpama itu yang menyediakan pelbagai aktiviti bukan saja dapat mencungkil bakat golongan muda dalam muzik dan nyanyian tetapi juga menerap ilmu mengenai gitar yang dikatakan alat muzik amat popular dan paling meluas digunakan dalam pelbagai jenis persembahan dan genre muzik.

Pengunjung FGTM berpeluang menyertai seminar dan sembang muzik bersama gitaris dan pemuzik ternama termasuk tenaga pengajar daripada institusi pengajian muzik terkenal serta mengetahui lebih lanjut penggunaan alat muzik khususnya gitar dengan cara betul melalui pameran dan jualan alat muzik oleh pengeluar gitar dan sekolah serta penerbit bahan muzik berasaskan gitar.

"Kita juga menyediakan klinik bermain dan memulihara gitar yang akan membawa gitaris ternama serta pengeluar dan penyelenggara gitar untuk memberi tunjuk ajar teknik yang betul mengenai penyelenggaraan gitar.

"Tidak lupa juga, persembahan sampingan kebudayaan dan muzik tempatan serta acara santai bersama gitaris ternama turut diadakan untuk menghiburkan pengunjung.

"Kita yakin acara seumpama ini bukan saja dapat menarik minat golongan belia yang cintakan muzik, tetapi juga dapat membantu menyediakan aktiviti yang boleh mengisi masa mereka yang kebanyakannnya gemar melepak membuang masa," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Din Adam.


Hadiah RM89,000 untuk pemenang


SEMPENA FGTM juga, satu pertandingan gitar yang membolehkan golongan muda berbakat dalam bidang muzik mencuba nasib dalam pertandingan gitar instrumental dan vokal yang menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM89,000.

Katanya, pertandingan itu terbuka untuk rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas melalui tiga kategori iaitu duo instrumental, instrumental berkumpulan dan vokal berkumpulan.

"Pertandingan berkonsep santai akustika ini menekankan permainan dan penguasaan gitar akustik dan gitar semi-akustik yang dipersembahkan secara langsung pada hari kemuncak FGTM 6 April nanti.

"Mereka yang berminat perlu menghantar borang permohonan kepada penganjur sebelum 20 Mac ini dengan melayari laman web http://www.tourism.terengganu.gov.my atau mendapatkan borang daripada urus setia di Muzium Negeri," katanya.

Sambil menyifatkan kerajaan Terengganu semakin peka dan aktif untuk mmeningkatkan semula martabat seni budaya di kalangan anak negeri, Manan berkata, FGTM mungkin boleh menjadi platform mencambahkan industri muzik balada nusantara.

Katanya, dengan kerjasama padu daripada kerajaan negeri, beliau yakin dan meletak harapan FGTM mampu memberi kelainan kepada industri muzik dan merangsang jati diri serta keyakinan yang tinggi dengan pendedahan yang diberikan.


Top
 Profile  
 
 Post subject: 22 artis sedia gegar Dataran Shah Bandar
New postPosted: 2008-02-21, 08:47:03 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
KEADAAN cuaca yang tidak mengizinkan di Kuala Terengganu, Terengganu tahun lalu menyebabkan lokasi siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) terpaksa ditukarkan daripada Dataran Shah Bandar kepada kawasan tertutup di dewan Terengganu Equestrian Resort (TER) pada saat akhir.

Perancangan yang tergendala tahun lalu untuk mengadakan di Dataran Shah Bandar bagaimanapun akan diteruskan tahun ini. Minggu ini, finalis ABPBH 2007 akan beramai-ramai berada di Kuala Terengganu bagi menemui peminat di negeri yang terletak di Pantai Timur tanah air selepas kejayaan siri jelajah di Kota Bharu minggu lalu.

Finalis ABPBH 2007 akan berkampung selama dua hari iaitu pada Jumaat dan Sabtu ini di negeri yang terkenal dengan slogan Negeri Cantik Budaya Menarik. Peminat di Terengganu tidak harus melepaskan peluang ini kerana pelbagai aktiviti disusun untuk mendekatkan mereka dengan artis pujaan.

Seramai 22 artis akan turut serta memeriahkan siri jelajah ini iaitu Maya Karin, Fasha Sandha, Faizal Tahir, Fouziah Ghous, Cheryl Samad, Imran Ajmain, Azwan Ali, Sofaz, Aswad (AF5), Anne, AG (Hotfm), Raja Azura, Bard R1, Zul Yahya dan Royce.

Jangan lepaskan peluang menanti kemunculan finalis ABPBH 2007 yang akan beraksi di Dataran Shah Bandar yang akan bermula pada jam 2 petang hingga 7 malam. Finalis ABPBH 2007 akan menghiburkan pengunjung pada petang itu dengan rangkaian lagu popular. Bukan itu saja, pelbagai hadiah menarik menanti menerusi kuiz yang bakal dianjurkan.

Lebih istimewa lagi, peminat juga berpeluang mengabdikan kenangan mereka bersama artis pujaan. Yang perlu dilakukan hanya membawa keratan borang ABPBH 2007 dan anda berpeluang untuk bergambar dan mendapatkan autograf artis pujaan.

Pada sesi promosi, peminat juga berpeluang mendapatkan barangan eksklusif terhad ABPBH 2007 sebagai cenderahati yang dijual di gerai khas berupa kemeja-T berkolar, kemeja-T leher bulat, baby-T, buku autograf, rantai kunci, payung, tumbler, mug, pemetik api, topi dan tuala.

INFO: Aktiviti promosi ABPBH2007

* JANGAN lupa untuk melihat artis lelaki pujaan beraksi di gelanggang bola sepak manakala finalis wanita pula akan mempamerkan kehebatan mereka bermain bola jaring.

* Pertandingan ini akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Pasukan pilihan selebriti bagi acara bola sepak akan menentang pasukan Menteri Besar. Sementara pasukan wanita pula akan bertemu dengan pasukan pilihan Wisma Darul Iman bagi merebut piala Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

* Acara akan bermula pada jam 8.45 malam dan masuk adalah percuma. Jika anda ingin melihat adakah artis pujaan anda hebat di gelanggang, jangan lupa datang beramai-ramai ke stadium.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Ajak jelajah bumi Anbia
New postPosted: 2008-02-21, 08:48:30 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Kumpulan nasyid popular Rabani cadang buat konsert mini di Jordan dan Syria sambil tunai umrah

MELANGKAH sedekad di pasaran muzik perdana, kumpulan nasyid kontemporari Rabbani masih kukuh nama mereka. Sedekad, satu perjalanan yang panjang. Tidak semua warga seni mampu mempertahankan kerjaya mereka selama itu.

Ramai yang datang dan pergi, silih berganti. Tetapi nama Rabbani terus kukuh dan kebal di situ, biarpun kehadiran ramai penyanyi nasyid kontemporari sejak irama itu diperkenalkan. Namun, belum mampu untuk meruntuhkan benteng kukuh yang dibina Rabbani, Hijjaz dan Raihan.

Rabbani yang mengunjungi Hip baru-baru ini, tiga anggotanya vokalis utamanya Asri Ibrahim, Azadan Abd Aziz dan Mohd Asri Ubaidullah rancak bercerita mengenai visi dan impian Rabbani yang belum tertunai serta mengenai album terbaru mereka Rabbani 1418-1428 yang mengandungi lagu duet bersama Amy Search dan Mawi.

Sempena 10 tahun pembabitan mereka dalam arena ini, Rabbani ingin menjemput peminatnya bersama-sama menjelajah ke bumi Anbia. Rabbani yang memiliki syarikat Rabbani Productions Sdn Bhd juga mahu mempunyai artis di bawah payung syarikat mereka, itulah antara cita-cita yang sedang mereka usahakan.

“Sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni, mungkin sudah sampai masa kami mengembalikan ingatan serta mengambil keberkatan dengan peminat di bumi Anbia seperti Jordan, Syria dan seterusnya menunaikan umrah.

“Pakej ini dimiliki oleh Al Mukminin Travel & Tours Sdn Bhd, tetapi Rabbani Productions dan Ez Corporation adalah peneraju bersama. Minimum seramai 80 orang diperlukan untuk setiap kunjungan,” kata Azadan.

Kebetulan berkunjung ke sana, Rabbani bercadang menggunakan peluang itu untuk mengadakan mini konsert di Jordan dan Syria bagi memperkenalkan lagi nama Rabbani, juga produk keluaran kumpulan itu antaranya seperti minuman kesihatan Rabbani Cafe dan koleksi cenderahati Rabbani.

Setidak-tidaknya dapat juga melepaskan rindu membuat konsert selepas kali terakhir pada Konsert Maulidur Rasul sempena hari keputeraan Nabi Muhammad SAW yang diadakan di Shah Alam kira-kira dua tahun lalu. Bagaimanapun, semuanya masih di dalam perancangan bergantung kepada penaja daripada negara ini.

Biarpun muzik nasyid kontemporari tidak lagi dilihat serancak dulu, bagi Rabbani mereka tidak gusar. Sehingga kini, permintaan untuk mereka masih ada dan rezeki mereka juga masih lagi murah seperti dulu. Tidak pernah terlintas di fikiran mereka berasa di ketepikan.

“Hendak dibandingkan dulu dan sekarang, memang tidak sama. Dari segi aktiviti, Rabbani masih menerima banyak undangan sama ada dari jabatan kerajaan ataupun swasta. Kami kena akur, program hiburan sudah banyak. Tapi kami tidak rasa diketepikan. Kami sedar program realiti senang diberi perhatian berbanding artis lain.

“Sekarang ini, Rabbani menumpukan perhatian kepada kerjaya seni kami. Selain itu, kami juga sekarang sudah mempunyai produk sendiri. Namun, andai ditakdirkan sudah tiba masanya kami mengurangkan aktiviti seni, kami akan lakukan,” kata Asri pula.

Berkolaborasi dengan seorang penyanyi rock di dalam album bukan satu kejutan. Raihan pernah melakukan sedemikian bersama Awie, Rabbani pula memilih Amy Search kerana melihat penghijrahan di dalam diri penyanyi itu. Ternyata, Amy begitu terbuka menerima pelawaan mereka.

“Kami tidak sangka apabila menghubunginya, Amy terus bersetuju untuk bekerjasama dengan kami lalu menyuruh datang ke rumahnya untuk berbincang. Malah, Amy juga yang mencadangkan supaya kami memilih lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur yang cukup bermakna kepadanya kerana lagu berkenaan terngiang-ngiang di telinga Amy ketika dia berada di Gua Hira.

“Bekerja dengan Amy cukup mudah, dia banyak memberi idea. Saya beritahu pada Amy yang saya tidak boleh bawakan key lagu yang tinggi seperti dia, dan Amy bersetuju untuk mengikut rentak kami,” kata Asri lagi.

Rabbani yang terkenal dengan lagu Intifada dan pernah bernaung di bawah KRU, mempertahankan trofi Penyanyi Nasyid Popular untuk enam tahun berturut-turut. Tahun ini, nama mereka sekali lagi dipilih peminat sebagai finalis.

Tidak meletakkan harapan yang tinggi, Rabbani menganggap semua itu sebagai rezeki dan bersyukur kerana peminat masih mengundi mereka. Kata mereka, jika tanpa sokongan peminat dan juga keluarga tidak mungkin mereka sampai ke tahap ini.’

Bagi mereka yang berminat menziarah dan menjelajah ke bumi Anbia, boleh menghubungi Azadan Abd Aziz untuk mendapatkan maklumat lanjut di talian 019-2110300.


Top
 Profile  
 
 Post subject: RIM tetap pertahan matlamat Ikon Malaysia
New postPosted: 2008-02-21, 08:50:06 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Musim kedua disiarkan Astro Ria sekitar Jun jadi platform perkenal artis tempatan ke luar negara

APABILA Ikon Malaysia (Ikon) diperkenalkan buat kali pertama tahun lalu, ramai yang teruja kerana mereka percaya program pertandingan nyanyian itu mampu mengetengahkan bakat mereka ke negara luar apatah lagi program berkonsepkan pertandingan nyanyian itu mendapat kerjasama Indonesia dan Filipina.

Pada masa itu rata-rata yang mengambil bahagian menaruh harapan bahawa dengan penyertaan itu mereka sekurang-kurangnya diberi peluang untuk melebarkan sayap di negara terbabit.

Namun, sehingga pertandingan Ikon yang menyaksikan kemenangan peserta dari Filipina, Dina Morales menang berakhir Julai tahun lalu, sehingga kini tidak nampak keberkesanan program itu dalam usaha untuk membawa bakat Malaysia ke negara terbabit seperti yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, mereka pula yang semakin bermaharajalela di negara ini. Di mana janji pihak penganjur untuk mengetengahkan penyanyi Malaysia di dua negara ini? Walaupun tewas di tangan Morales namun keupayaan Jaclyn Victor sebagai penyanyi memang tidak dapat disangkal lagi.

Namun, sehingga kini iaitu musim kedua program Ikon sudah mula menjengah, janji pihak penganjur sebelum ini masih belum tertunai. Apa yang terjadi, populariti Jaclyn hanya menyinar menerusi pertandingan Asian Idol yang berlangsung di Jakarta, lewat Disember lalu.

Justeru, untuk apa Ikon 2 diadakan? Adakah sekadar satu kesinambungan kepada program terdahulu ataupun memang pihak penganjur serius untuk menjual bakat artis Malaysia.

Menjawab pertanyaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Adrian Lim tetap mempertahankan pendirian mereka dengan mengatakan program memang bertujuan untuk mempromosikan artis ke negara luar.

“Selama ini kita dapati memang sukar untuk artis kita menembusi negara luar tetapi selepas Ikon diadakan, sedikit sebanyak ada juga artis Malaysia yang dikenali dan lagu mereka berkumandang di sana. Lagipun kerjasama yang terjalin dengan dua stesen televisyen di dua negara itu membolehkan klip video artis yang bertanding di putarkan.

“Dalam kes Jaclyn Victor pula kami memang mempunyai rancangan tersendiri untuk memastikan namanya tidak dilupakan. Kami merancang untuk menggandingkan Jaclyn bersama finalis Ikon dari Indonesia, Judika dalam sebuah lagu,” ujar Adrian pada majlis sidang media pengumuman Ikon Malaysia 2 di Seri Hartamas, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Ikon Media, Richard Voon, Ketua Program Melayu Astro, Haris Ismail dan Pengurus Saluran Ria, Khairul Mizan Shagul.

Sambil menafikan kenyataan Ikon gagal dalam objektifnya, Adrian berkata mereka percaya industri hiburan tempatan sebenarnya mempunyai ramai penyanyi yang berbakat cuma mereka tidak diberi peluang dan masih tercari-cari platform untuk membuktikannya.

“Jadi inilah yang kami berikan untuk mereka tonjolkan di luar sana bahawa Malaysia tidak ketandusan artis berbakat. Sama ada mereka artis baru, popular atau tidak, kami serahkan pada anda semua (media) untuk membantu mereka,” jelas Adrian lagi.

Pendapat itu turut dipersetujui Ketua Program Melayu Astro, Haris Ismail dengan mengatakan Astro sentiasa membuka pintu untuk program seperti ini kerana mereka percaya peranan Ikon dalam menjalankan tanggungjawab itu.

Memang tidak dapat dinafikan Ikon mempunyai kredibiliti itu tapi persoalannya bilakah artis kita dapat mengecapi keistimewaan seperti mana yang diterima artis dari luar di negara ini. Malah, Adrian sendiri mengaku album Dina Morales sudah pun dipasarkan di negara ini gara-gara kemenangannya itu sedangkan Jac masih teraba-raba mencari publisiti di negara tumpah darah Morales. Jadi persoalannya, di manakah keadilannya di sini.


Peserta program realiti kuasai Ikon Malaysia 2

DALAM sepuluh peserta solo yang tersenarai sebagai finalis, tujuh daripadanya adalah bekas peserta program realiti dari pelbagai saluran televisyen.

Agak menghairankan apabila peserta yang boleh dianggap masih hijau ini diberi gelaran Ikon sedangkan ada ramai lagi penyanyi senior yang boleh diketengahkan termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.Di mana mereka ini? Adakah mereka tidak berminat sehingga Ikon terpaksa main tangkap muat saja senarai artis yang bertanding.

“Sebenarnya semua finalis ikon ini dipilih selepas menjalani proses senarai pendek. Mereka yang dicalon perlu berdaftar dengan RIM dan album mereka hendaklah dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Ini memang polisi kami sejak Ikon musim pertama lagi. Lagipun, saya tidak nampak mengapa peserta program realiti tidak boleh menyertai Ikon. Apa yang boleh saya katakan, mereka ini hebat belaka,”jelas Adrian.

Bagi kategori solo, finalis terdiri daripada Bob, Faizal AF, Farah Asyikin, Farawahida, Juwita Suwito, Khai, Liza Hanim, Mila, Noryn Aziz dan Zehra Zambri. Manakala kategori kumpulan pula ialah 6ixth Sense, Aboi, AlamBand, Deja VooDoo Spells, Dragon Red, Khalifah, Kluk Kluk Adventure, New Boyz, Silent Scream dan The Fabulous Cats.

Ikon Malaysia akan ke udara di Astro Ria sekitar bulan Jun.


Top
 Profile  
 
 Post subject: RTM perjelas masalah siar program retro tempatan
New postPosted: 2008-02-21, 08:50:59 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
RTM dari semasa ke semasa mengulang tayang rancangan retro tempatan terbitannya untuk tontonan umum menerusi slot Mustika dan Panggung Perdana yang menyiarkan retro telefilem sejak tahun 2006 pada setiap Jumaat, mulai jam 11.30 malam hingga 1.30 pagi.

Ulang tayang rancangan itu masih diteruskan sehingga kini seperti Panggung RTM dan Drama Minggu Ini (DMI) serta drama terbitan swasta.

Bagaimanapun, dalam usaha RTM untuk menyiarkan semula drama bersiri dan drama swasta itu, beberapa kekangan timbul kerana drama bersiri yang diterbitkan oleh RTM pada tahun 70-an mempunyai format berbeza, iaitu format analog, manakala siaran masa kini pula menggunakan format digital.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Kementerian Penerangan sebagai mengulas artikel ‘RTM perlu adakan slot retro program tempatan’ yang disiarkan menerusi ruangan Fragmen pada 6 Februari lalu.

Mengikut kenyataan itu lagi, bagi drama terbitan swasta pula, pada tahun 70-an dan awal 80-an, RTM hanya mempunyai hak siaran untuk tempoh selama setahun dan dua tahun saja.

Oleh itu, penayangan semula drama itu dalam slot retro perlu melalui perundingan semula. Selain itu, pada masa juga, RTM turut menghadapi masalah slot siaran yang terhad.

Ulang tayang drama terbitan swasta dan tempatan dan rancangan hiburan tempatan hanya disiarkan pada awal pagi menerusi RTM yang beroperasi 24 jam sehari.

Dalam kenyataan yang berasingan pula, RTM1 mengambil inisiatif menyiarkan Warta Pagi seawal jam 6.30 pagi, iaitu setengah jam lebih awal berbanding waktu siarannya berkuat kuasa 13 Februari lalu.

Menyusul selepas itu ialah Akhbar Hari Ini yang juga dipercepatkan siarannya kepada jam 7 pagi.

Perkara ini pastinya menjadikan penonton saluran RTM1 sebagai individu terawal menerima berita dan maklumat terkini terhadap isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara. Oleh itu, penonton setianya dapat memulakan hari yang baru dengan lebih awal dan peka terhadap perkembangan semasa.

Berikutan perubahan itu, rancangan Bumi Kita akan menggantikan rancangan Inspirasi Pagi disiarkan pada jam 6 pagi, sebelum diteruskan oleh rancangan Bicara Mufti yang bersiaran pada jam 6.15 pagi.

Sementara siaran rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) pula turut bermula lebih awal iaitu pada jam 7.15 pagi. Bagaimanapun, Warta Jam 9 masih bersiaran seperti biasa iaitu pada jam 9 pagi.


Top
 Profile  
 
 Post subject: The Firm cari 12 individu korporat
New postPosted: 2008-02-21, 08:52:22 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Rozdan Mazalan

PROGRAM pencarian individu korporat berjiwa kental, kreatif dan mempunyai tahap pencapaian yang meyakinkan sebagai seorang pemimpin, The Firm, kini memulakan pencariannya bagi musim kedua.

Tahun ini sekali lagi stesen televisyen ntv7 memerlukan 12 individu korporat yang sedang meningkat maju bagi menyertai program itu.

Selain bakal dinobatkan sebagai juara, peserta akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam sesuatu syarikat terkenal.

The Firm yang dianggap pertandingan paling rancak dan mencabar di kalangan peserta memerlukan individu berpengalaman tidak kira pemegang ijazah atau tidak, berusia antara 21 hingga 35 tahun serta fasih berbahasa Inggeris.

Jika anda seorang yang bercita-cita tinggi, amat fokus, boleh bekerja di bawah tekanan, berani mengambil risiko, bersedia menjadi ketua dan gilakan pengiktirafan, anda adalah orang yang menepati ciri-ciri yang dicari stesen televisyen yang semakin diminati itu.

Sama ada lepasan universiti atau mencari alternatif untuk mengembangkan kerjaya, program ini juga bertujuan menyingkir mereka yang lemah daripada yang berjiwa kental.

Mereka yang tidak memenuhi tahap pencapaian berbanding kalangan yang menyerlah serta lebih bersikap sebagai seorang pengikut berbanding pemimpin akan diuji sejauh mana kemampuan dalam cabaran yang bakal mereka tempuhi.

Mereka akan bersaing dalam pelbagai tugasan dan cabaran korporat di mana setiap minggu kumpulan yang kalah dalam cabaran akan terpaksa mengeluarkan salah seorang yang lemah dan akan terus menyingkirkan mereka sehinggalah penganjur menemui seorang saja yang layak bergelar juara.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini layari http://www.ntv7.com.my untuk mendapatkan terma dan syarat pertandingan serta untuk muat turun borang permohonan.

Borang yang lengkap berserta gambar berukuran pasport disertakan dengan resume harus tiba ke alamat, The Firm 2, c/o Popiah Pictures Sdn. Bhd, 225A, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur atau e-mel mail@popiahpictures.com sebelum 15 Mac ini.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Nieyl sedia jadi isteri
New postPosted: 2008-02-21, 11:20:38 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Image
SELEPAS dua tahun setengah menjadi tunangan orang,
akhirnya Nuriylia Jailani, 23, atau Nieyl sudah bersedia
untuk bergelar isteri kepada Dazman Shah, 31.
SMS ugut minta RM20,000

Sekian lama tertangguh disebabkan pelbagai faktor termasuk keputusan Nieyl menyertai program realiti Mentor dua tahun lalu. Kini, atas desakan keluarga dan saudara mara yang ingin melihat mereka bersatu sebagai pasangan suami isteri, Nieyl dan Dazman bersetuju mengakhiri pertunangan mereka kepada sebuah ikatan yang lebih kukuh penghujung tahun ini.

Nieyl yang mula mengasah bakat sebagai artis residen di Restoran Cerana, Cheras, berkata, sejak tahun lepas lagi dia bersedia menjadi isteri dan persiapan untuk meraikan hari berbahagia itu kini separuh siap.

“Saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri, namun mungkin kerana kesibukan masing-masing, ia sering tertangguh. Sebelum menyertai Mentor lagi kami sudah bertunang di mana saya mohon restu Dazman untuk masuk pertandingan nyanyian tersebut.

“Bagaimanapun, sekarang saya dan Dazman tidak boleh mengelak lagi kerana Dazman sendiri sudah tidak sabar hendak naik pelamin.

“Kawan-kawan dia ramai yang sudah berkeluarga. Jadi kami tidak boleh terus bertangguh. Keluarga kedua-dua pihak dan saudara-mara juga tidak sabar melihat kami menjadi raja sehari.

“Lagipun perkara yang elok tidak boleh dilengahkan, bimbang pula terjadi perkara tidak diingini.

“Persiapan perkahwinan ada dibuat sendiri dan ada juga yang sudi menaja. Saya masih berbincang dengan Dazman termasuk lokasi mengadakan majlis kenduri dan persandingan nanti,” katanya.

Pasangan yang bertunang pasti menempuh dugaan, begitu juga dengan Nieyl. Antara peristiwa pernah mengganggu perasaannya apabila bekas teman wanita Dazman cuba mengocak ketenangan hidupnya dengan menghantar SMS berbau ugutan minta wang RM20,000 daripadanya.

“Wanita itu sudah lama berpisah dengan Dazman dan berkahwin dengan lelaki lain. Tetapi selepas bercerai dia ganggu saya kononnya Dazman pernah berjanji untuk mengahwininya.

“Waktu itu saya bimbang betul, tetapi Dazman menasihati saya jangan mempedulikannya. Tetapi saya ini cepat gabra. Nasib baik tidak lama selepas itu wanita itu berkahwin semula dan aman kembali hidup saya.

“Dugaan lain ada juga tetapi setakat perselisihan kecil saja. Oleh kerana beza usia dengan Dazman lebih kurang lapan tahun, dia matang menangani keadaan. Dia tidak mudah melatah dan dia jugalah membenarkan saya menyertai Mentor. Sehingga sekarang dia penyokong setia dan mendorong saya meneruskan minat terhadap lapangan seni suara,” katanya.

Bahkan, jelas Nieyl, Dazman membiayai rakaman lagu yang bakal dimuatkan dalam album sulungnya. Disebabkan guna wang sendiri, album itu belum siap.

“Baru tiga lagu dirakamkan. Saya belum pasti sama ada menghasilkan album penuh atau mini album, bergantung pada bajet. Selepas album itu siap kami akan mencari syarikat rakaman yang sudi bekerjasama untuk mengedarkan album tersebut.

“Selepas berkahwin, saya akan terus menyanyi. Pada masa sama saya ingin membuka kembali salun rambut yang terpaksa ditutup kerana sibuk dengan Mentor.

“Sayang juga segala peralatan itu terperap dalam stor. Saya bercadang membuka salun itu di Petaling Jaya kerana selepas berkahwin kami akan menetap di sana kerana keluarga bakal mentua tinggal di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun belum ada album namun undangan menyanyi tetap ada. Nieyl yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat kini bergerak sendiri dengan bantuan Pembantu Peribadinya, Intan. Pihak TV3 juga kerap menjemputnya menjayakan konsert Jomheboh dan acara lain anjuran mereka.

Menurut Nieyl yang pernah berlakon dalam drama Cinta Medik, baru-baru ini dia mendapat tawaran daripada Keris Motion untuk tampil dalam drama on line, Gua.com.

“Tetapi belum ada kata putus. Dulu masa berlakon dalam Cinta Medik saya berasa sukar untuk menghayati watak sebagai wanita hamil.

“Saya sendiri dapat rasa betapa kerasnya lakonan saya. Mereka meletakkan alat seperti bantal pada bahagian perut bagi menunjukkan saya hamil tetapi saya rasa satu beban pada perut saya.

“Kekok betul masa itu. Saya juga sukar melakukan adegan bermanja dengan suami yang dilakonkan E-One.

“Jika diberikan watak remaja mungkin saya boleh buat kerana sesuai usia saya. Bagaimanapun, sebagai pelakon saya perlu berani 'menjadi' orang lain dan melakukannya dengan sebaik mungkin.

“Masih terlalu baru dalam bidang lakonan dan saya akan terus mencuba memperbaiki kekurangan diri,” katanya.


Top
 Profile  
 
 Post subject: Artis popular jaguh futsal
New postPosted: 2008-02-21, 11:23:56 pm 
Offline
User avatar

Joined: 2007-11-22, 01:30:15 pm
Posts: 28881
Location: Di atas nama cinta
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Image
JIKA di Brazil, sukan bola sepak cukup sinonim
dengan tarian Samba, sehinggakan juara Piala
Dunia sebanyak lima kali itu diberi jolokan
pasukan Samba.
Begitupun, tidak ramai mengetahui kebanyakan pemain Amerika Selatan itu dicungkil bakat mereka daripada sukan bola sepak jalanan atau futsal.

Nama besar seperti Rivalino, Zico, Juninio dan bekas Pemain Terbaik Dunia, Ronaldo adalah antara pemain yang dicungkil bakat mereka daripada sukan futsal, malah diperakui memiliki bakat dan berkemahiran tinggi.

Sesuai dengan peredaran zaman dan persekitaran, futsal kini antara sukan paling popular dan semakin berkembang di seluruh dunia. Ini dapat dilihat daripada permukaan gelanggang tanah, padang, simen hingga kepada getah (taraflex) dalam dewan sekali gus penyumbang kepada penganjuran pelbagai kejohanan dan aktiviti membabitkan sukan itu.

Fenomena itu turut dialami beberapa artis ternama tempatan dan petugas media. Bertitik tolak daripada itu, penganjur Karnival Futsal i-Metro mengadakan satu perlawanan futsal persahabatan membabitkan pasukan pilihan artis dan Harian Metro (HM) bertempat di gelanggang futsal, Kompleks Sukan NSTP Bhd, Jalan Riong, Bangsar, petang Isnin lalu.

Perlawanan disertai pelakon popular Fasha Sandha, Hans Isaac, Nabila Huda, Almy Nadia, Fizz Fairuz, Badri Ibrahim (MyStar LG), Siti Saerah (One In A Million), pelakon Nana Tanjung, Ainul Aisyah (Ain), Fouziah Ghous (Cinta Medik) dan turut disertai Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul.

Pasukan pilihan HM yang dibarisi petugas Pra Karnival Futsal i-Metro turut diperkuatkan dengan kehadiran Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail. Turut hadir memberi sokongan pada perlawanan itu ialah pelakon dan penyanyi Betty Banafe serta Iqram Dinzly.

Sementara itu, pelakon popular Nabila Huda mengakui dapat merehatkan minda ketika beraksi pada perlawanan itu.

Anak kepada rock terkenal, Amy Search itu yang kini masih terbabit dalam penggambaran drama bersiri untuk siaran RTM, Getaran Kasih, berkata sekalipun agenda seninya padat, dia sentiasa menyokong aktiviti sukan futsal serta tidak keberatan menjayakan acara itu pada masa depan.

“Saya seronok dapat bermain futsal bersama rakan sepasukan yang pernah beraksi bersama ketika menyertai beberapa perlawanan sebelum ini. Saya pula memang meminati futsal, tidak kira bermain untuk pertunjukan atau secara suka-suka. Selain menyihatkan badan, bersukan juga dapat mengeratkan silaturahim sesama insan.

“Futsal bagus untuk mengisi masa lapang. Penganjuran kejohanan futsal oleh Harian Metro pula dapat mendorong kepada perkembangan sukan itu sekali gus dapat mencungkil bakat baru,” katanya.

Bagi pelakon drama bersiri remaja popular, Dunia Baru, Almy Nadia, penyertaannya pada perlawanan itu satu daripada aktiviti riadah di samping mengambil peluang mengisi masa lapang bersama rakan artis serta pihak media.

“Biarpun jarang bermain, saya tetap melakukan senaman demi memastikan kecergasan berada pada tahap sepatutnya bagi menjayakan sesi penggambaran. Sebagai artis, futsal juga sebahagian daripada sukan pilihan saya.

“Walhal saya lebih meminati sukan bola jaring berbanding futsal. Ketika sekolah dulu, saya kerap bermain permainan ini sebagai penjaring gol (Gol Shooter).

“Selepas mencuba permainan futsal saya semakin meminatinya. Tidak dinafikan kedua-dua sukan ini mempunyai persamaannya.

“Saya juga tidak menafikan futsal cukup diminati semua peringkat sejak kebelakangan ini,” katanya.

Pelakon dan pengarah filem Cuci, Hans Isaac, menyifatkan penyertaannya pada perlawanan itu sebahagian daripada caranya mendekatkan diri dengan pihak media dan masyarakat.

Menurutnya, minat pada sukan itu terbit sejak dulu lagi. Sebagai artis dia memilih aktiviti kesukanan seperti futsal untuk merehatkan minda dan tekanan selepas sibuk di lokasi penggambaran.

Sepanjang perlawanan berlangsung pelbagai aksi menarik dipamerkan oleh setiap pemain. Daripada posisi penjaga gol sehinggalah barisan serangan yang sering bersilih ganti. Ada juga aksi lucu dipamerkan pemain apabila bola gagal disepak kemas. Sesekali berlaku pula pergelutan sesama pemain sepasukan.

Suasana bertambah bingit apabila ada di antara mereka yang hadir menyaksikan perlawanan itu bersorak memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Bagaimanapun, keputusan berpihak kepada pasukan pilihan artis apabila berjaya mengatasi pilihan HM, 5-4.

Terdahulu, majlis perasmian dan penyerahan tajaan di lokasi sama disempurnakan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Eksekutif HM/MA, Mustapa Omar. Jenama sukan terkenal daripada Belanda, Figos selaku penaja utama kejohanan turut menyumbangkan jersi dan kasut kepada pemain pada majlis itu.

Kejohanan Pra Karnival Futsal i-Metro yang berlangsung di HTO de Futsal Subang Jaya Ahad ini dijangka turut dimeriahkan dengan perlawanan pertunjukan futsal membabitkan pasukan pilihan selebriti wanita menentang petugas HM pada jam 1 tengah hari.


Top
 Profile  
 
Display posts from previous:  Sort by  
Post new topic Reply to topic  [ 18 posts ]  Go to page 1, 2  Next

All times are UTC + 8 hours


Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 1 guest


You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum

Search for:
Jump to:  
cron
Powered by phpBB © 2000, 2002, 2005, 2007 phpBB Group
Free Forum : phpbb3now.com

PlayStation style by Scott Stubblefield